
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap individu masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk mengisi masa lapang dan menghiburkan diri.
Ada yang suka keluar berjalan-jalan, membaca, menonton wayang malah bermain kad. Bila sebut sahaja tentang kad, pasti ramai yang tahu tentang kad daun terup.
Kebiasaannya, permainan ini melibatkan wang pertaruhan yang menguntungkan sesetengah pihak. Namun, di kalangan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam bermain kad ini tanpa bertaruh — pendek kata bukan berjudi.
Pernahkah korang terfikir, boleh atau tidak bermain kad daun terup walaupun tiada sebarang unsur perjudian?
Permainan Melibatkan Judi & Pertaruhan Haram
Menurut laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kad daun terup merupakan alat popular yang sering digunakan dalam aktiviti berjudi di tempat perjudian dan kasino.
Terang laman berkenaan, Prof Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan terdapat firman Allah SWT mengenai pengharaman arak dan judi sebagai amalan syaitan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Maksudnya: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
“Surah al-Maidah (90),” tulis mereka.
Jelas laman itu, pengharaman arak dan judi adalah bertujuan untuk menjaga tubuh badan serta minda manusia di samping memupuk perasaan saling sayang menyayangi sesama insan.
Oleh yang demikian, sebarang jenis pertaruhan sama ada permainan dadu atau catur yang melibatkan wang adalah termasuk dalam kategori judi.
“Jika tidak menggunakan wang pun, jumhur masih tetap melarang kerana ia berpotensi menimbulkan permusuhan dan dendam, serta menjadi penghalang daripada mengingati Allah SWT,” terangnya.
Boleh Main Tetapi Bersyarat – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Terang laman itu lagi, bermain kad daun terup dibolehkan dengan syarat tiada unsur perjudian, penipuan, pergaduhan serta menjaga batasan Islam seperti tidak meninggal solat dan sebagainya.
Namun, laman berkenaan mencadangkan adalah lebih baik jika seseorang itu mencari alternatif atau hiburan yang lebih berfaedah selain permainan daun terup berdasarkan hadis Riwayat Muslim (2750):
يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ
“Maksudnya: ‘Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan’,” tulisnya.
Cari Permainan Lain Untuk Elakkan Fitnah
Jelas laman itu, seseorang dinasihatkan untuk mencari permainan lain yang lebih bermanfaat.
Ini kerana permainan daun terup dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah pada mata masyarakat sekeliling apatah lagi ia merupakan alat biasa yang sering digunakan dalam permainan judi.
“Lebih elok jika kita mencari permainan yang lebih bermanfaat dan selamat kerana bermain permainan seperti ini akan menjatuhkan maruah, lebih-lebih jika seseorang itu memiliki reputasi yang tinggi dan dihormati di sisi masyarakat,” tulis mereka.
Ada Pelbagai Pendapat Ulama, Ada Haram & Makhruh
Dalam pada itu, penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan terdapat pelbagai pandangan ulama mengenai permainan kad daun terup tanpa pertaruhan.
Terang beliau dalam video ceramah di YouTube, sesetengah ulama mengatakan permainan yang sinonim untuk tujuan berjudi adalah haram meskipun permainan itu tidak melibatkan sebarang pertaruhan.
Namun, ada ulama berpendapat ia tidak haram dan makhruh jika ia tidak melibatkan sebarang pertaruhan.
“Contoh buah dadu. Dalam Kitab Nailul Authar Imam Asy Syaukani menggariskan dua pandangan ulama.
“Permainan dadu itu main sahaja, tidak haram, makhruh. Pendapat kedua, tidak bertaruh pun haram juga kerana ia alat untuk berjudi.
“Begitu juga daun terup. Daun terup itu dicetak di kilang untuk apa? Untuk orang beribadah ke untuk berjudi? Untuk berjudi, maka tidak elok pada sisi syarak, maka tak elok kita main,” kata beliau.
Malah, Ustaz Azhar Idrus turut memberi contoh mengenai permainan snuker yang ada juga melibatkan perjudian.
“Kita kena berlapang dada. Ada orang nak ikut pandangan tak haram, silakan. Macam sukan lain seperti snuker.
“Snuker bukan alat perjudian, bila (akan) jadi haram? (Terdapat) dua cara, yang pertama bila ada pertaruhan. Yang kedua, tak bertaruh tapi (pemain) sampai tak solat.
“Yang haram aridi (benda yang di luar permainan snuker), pertaruhan dan tak solat pun benda luar,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Orang Yang Berjudi Termasuk Secara Online Tidak Boleh Jadi Wali Nikah
Baca Artikel Berkaitan: Umat Islam Dilarang Pakai Baju Ada Tulisan Atau Jenama Arak Mahupun Judi
