![Image from: Boleh Ke Pinjam Barang Dulu Baru Minta Izin Pemilik? Ini Penjelasan UAI [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/05/hukum-pinjam-barang-orang-lain-tanpa-izin_1-800x467.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kadangkala, ada situasi memerlukan seseorang untuk meminjam barang orang lain terlebih dahulu tanpa meminta izin dari pemiliknya.
Sebagai contoh, ketika dia dalam keadaan terdesak atau memerlukan dan hanya meminta izin selepas meminjamnya.
Persoalannya, adakah perbuatan sebegini dibolehkan dalam Islam?
Haram Ambil Barang Orang Lain Tanpa Minta Izin – UAI
Menurut pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam video di YouTube, perbuatan mengambil barang orang tanpa izin adalah haram.
“Hukumnya haram. Ambil harta orang, guna tanpa kebenaran, haram. Kalau (pinjam) seminggu, seminggu dia dalam maksiat,” katanya.
Namun Ada Situasi Yang Dibenarkan Ambil Barang Tanpa Kebenaran Pemilik
Namun jelas UAI, ada keadaan yang membenarkan seseorang itu mengambil dan meminjam barang terlebih dahulu tanpa kebenaran pemilik.
“Yang boleh ambil tanpa kebenaran, dua cara. Pertama, memang sudah diizinkan awal-awal lagi oleh pemilik.
“Contoh, tuan kereta kata ‘kamu nak pakai kereta aku bila-bila masa tak perlu kabar (bagitahu), ambil anak kunci, pergi je. Maka, sunat seseorang itu beritahu kepada pemilik, tak wajib.
“Kedua, memang rapat dengan pemilik dan selalu kita pinjam barang, dia tak marah dan suka kita pinjam,” kongsinya.
Bagi Pinjam Barang Milik Orang Lain Kepada Individu Lain, Si Pemberi & Penerima Sama-Sama Berdosa
UAI turut menjelaskan hukum seseorang yang memberi pinjam barang kepunyaan orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.
Jelas UAI, tindakan sebegitu membuatkan si pemberi (bukan pemilik barang) serta si peminjam berdosa.
“Ada yang pelik, barang orang, bukan barang dia, dia bagi pinjam. (Contoh) ada orang datang rumah Che Mat nak pinjam cangkul, Che Mat balik kampung tiga minggu.
“Che Yusuf (jiran) ni tanya ‘nak cari siapa? Che Mat tak ada balik kampung, nak buat apa cari dia?’ Orang tu kata nak pinjam cangkul. Che Mat pun ‘ambil la’.
“Hukumnya haram. Dua-dua berdosa. Yang tukang ambil, haram. Yang tukang beri pun haram sebab bukan cangkul dia,” jelasnya.
Situasi Sama Bila Peniaga Jual Barang Milik Peniaga Lain
Tambah UAI lagi, situasi ini sama seperti peniaga yang berniaga barang penjual lain tanpa keizinan pemilik jualan tersebut.
“Dia jual baju, orang (peniaga) sebelah jual limau. Yang jual limau ni pergi solat Asar.
“Ada orang datang beli limau. Dia (peniaga baju) ambil dan jual 2 kilo. Itu tidak sah (urus niaga) kerana itu bukan limau dia, dia jual baju,” jelasnya.
Namun, urus niaga itu sah sekiranya peniaga memesan kepada individu berkenaan untuk tolong menjualkannya.
“Yang sah kalau tuan limau pesan, ‘kalau aku tiada, kamu tolong jual’, itu sah,” jelasnya.
Baca Artikel Berkaitan: Orang Dah Bagi Barang Tapi Kemudian Tak Halalkan Pula, Boleh Ke Guna Lagi? Ini Penjelasannya
Baca Artikel Berkaitan: UAI Dedah Haram Hukumnya Jika Bawa Balik Makanan Berlebihan Dari Masjid Tanpa Minta Izin
