Boleh Ke Ungkit & Minta Balik Pemberian Bila Bergaduh? Pejabat Mufti WP Jelaskan Hukumnya

LocalOpinion
3 Oct 2025 • 3:26 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Agama Islam amat menggalakkan umatnya untuk bersedekah atau memberi kepada individu lain terutamanya yang sedang ditimpa musibah atau kesusahan.

Malah, menghalalkan sesuatu pinjaman wang kepada seseorang juga akan mendapat ganjaran pahala.

Pun begitu, tidak dinafikan ada segelintir individu yang suka mengungkit dan meminta balik pemberiannya apabila terjadi pergaduhan, lebih teruk lagi sehingga mengeluarkan kata-kata ‘aku tak halalkan!’.

Penerima tak wajib pulangkan, barangan atau wang diberi sudah menjadi haknya

Susulan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) tampil memperjelaskan hukumnya selepas diajukan soalan berhubung perkara itu daripada seseorang.

Menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti WP, di dalam Islam, apabila seseorang memberi sedekah atau hadiah dan penerima sudah menerimanya, maka ia terus menjadi hak milik penerima sepenuhnya.

Menurutnya, si pemberi tidak lagi mempunyai hak ke atas apa yang telah dia berikan. Jadi, penerima tidak wajib memulangkan semula duit atau barang yang pernah diberikan itu.

Haram meminta atau ungkit semula pemberian

Menurutnya lagi, Islam juga melarang keras perbuatan mengungkit-ungkit atau meminta semula pemberian selain hukumnya juga adalah haram.

Jelas Pejabat Mufti WP, Nabi Muhammad SAW menyamakan orang yang meminta balik pemberiannya dengan seekor anjing yang makan sampai kenyang, kemudian muntah, lalu makan semula muntah itu.

لَيْسَ لَنا مَثَلُ السَّوْءِ ‌الَّذِي ‌يَعودُ ‌فِي ‌هِبَتِهِ كالْكَلْبِ يَرْجِعُ فِي قَيْئِهِ

“Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu mereka yang meminta semula pemberian (hibah) samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”

Sabda Nabi SAW

Hal ini menunjukkan betapa buruknya perbuatan tersebut. Namun, Nabi SAW mengecualikan situasi seorang ayah menuntut semula pemberian daripada anaknya.

Ini berdasar hadis lain yang disebut secara jelas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يُعْطِيَ عَطِيَّةً ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا ‌إِلَّا ‌الوَالِدَ ‌فِيمَا ‌يُعْطِي ‌وَلَدَهُ، وَمَثَلُ الَّذِي يُعْطِي العَطِيَّةَ ثُمَّ يَرْجِعُ فِيهَا كَمَثَلِ الكَلْبِ أَكَلَ حَتَّى إِذَا شَبِعَ قَاءَ ثُمَّ عَادَ فِي قَيْئِهِ

“Tidak halal bagi seorang lelaki memberi sesuatu pemberian kemudian dia memintanya semula kecuali bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya. Misalan bagi orang yang memberikan sesuatu pemberian dan memintanya semula adalah sama seperti seekor anjing yang makan hingga kenyang lalu ia muntah, kemudian ia memakan semula muntahnya itu.”

Riwayat Abu Daud (3539) dan al-Tirmizi (2132)

Kesimpulannya:

  1. Segala pemberian sama ada dalam bentuk wang, barang atau makanan yang telah diterima oleh penerima telah menjadi hak milik penerima sepenuhnya.
  2. Pemberi tiada hak untuk tidak menghalalkan pemberian tersebut dan penerima tidak wajib memulangkan semula apa yang telah diberi kepadanya.
  3. Berkata “aku tidak menghalalkan pemberian” dikira sebagai pengungkit pemberian yang boleh meluputkan pahala sedekah.

Source:

View Original Article