Boleh Sewa Pandu Karavan, Lesen Komersial Bermula 2026

LocalTravel
23 Sep 2025 • 2:45 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Kementerian Pengangkutan mengesahkan pelesenan dan pengawalseliaan kenderaan rekreasi (RV) Kenderaan Sewa & Pandu Pelancongan (KSPP) untuk komersial di Semenanjung dan Kereta Sewa Pandu (KSP)di Sabah, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026.

Menterinya Anthony Loke, berkata pelaksanaan penggunaan RV bagi tujuan komersial adalah terhad kepada kenderaan baharu saja sama ada pemasangan tempatan (CKD) atau kenderaan import (CBU).

Beliau berkata, bagi RV persendirian sedia ada yang didaftarkan sebelum 31 Disember ini yang mahu dikomersialkan (iaitu berdaftar sebagai KSPP Semenanjung / KSP Sabah, Sarawak dan Labuan) perlu mematuhi had usia maksimum 15 tahun.

"Ia juga tertakluk kepada kelulusan pemeriksaan teknikal yang akan diperincikan dan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

image is not available

"Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengkaji kebolehlaksanaan bagi cadangan permohonan pelesenan RV untuk tujuan KSPP Semenanjung, KSP Sabah, Sarawak dan Labuan dilaksanakan secara satu platform saja (single window)," katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, RV adalah kenderaan bermotor termasuk semi-treler dan treler yang direka khas dengan dua fungsi utama iaitu pengangkutan dan penginapan sementara.

Kenderaan itu dilengkapi pelbagai kemudahan asas penginapan seperti ruang tidur, dapur mini, ruang makan dan bilik air bagi tujuan keselesaan kepada pengguna.

image is not available

Berdasarkan rekod hingga 22 Ogos lalu, sebanyak 1,405 RV didaftarkan dan dilesenkan bagi kegunaan persendirian individu di negara ini. Sebahagian besar RV berdaftar bersaiz kecil dan sederhana yang dikelaskan di bawah kategori karavan atau camper van.

"Hasil pemantauan pasaran terutama melalui platform media sosial mendapati wujudnya sejumlah besar iklan menawarkan perkhidmatan sewaan RV secara pandu sendiri," katanya.