
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Lumrah di dalam dunia politik pasti akan ada ahli-ahli politik yang keluar daripada parti atau menyertai parti lain atas sebab-sebab tertentu.
Bagaimanapun, kebanyakan daripada mereka melompat atau menukar parti dengan kerelaan hati sendiri.
Namun lain pula dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang dicadangkan untuk menyertai PAS oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhermin daripada parti DAP.
Wee didakwa dapat sokongan daripada blok pembangkang
Cadangan itu susulan dakwaan bahawa Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam mendapat sokongan daripada blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat semalam (5 Ogos).
Chong membangkitkan perkara itu selepas Wee selesai membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ahli Parlimen Ayer Hitam berucap ke arah pembangkang, bolehlah sertai pembangkang. Masuk PAS, PAS alu-alukan MCA,” katanya ketika mencelah.

Wee ditegur kerana hanya memandang ke arah blok pembangkang ketika berbahas
Sebelum ini, Wee menerima teguran daripada Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yien yang menegaskan bahawa beliau tidak seharusnya hanya memandang ke arah blok pembangkang ketika berbahas.
Menurutnya, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 31(1), mana-mana ahli yang dipanggil oleh Pengerusi Dewan hendaklah berdiri dan mengarahkan ucapannya kepada pengerusi, bukan hanya kepada blok tertentu.
Susulan itu, MP Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee daripada parti gabungan Perikatan Nasional (PN) bangkit mempertahankan Wee dan menyelar kenyataan Chong.
“Beliau pandang sini sebab dapat sokongan daripada sini. Beliau tak boleh pandang sana sebab DAP serang dia,” ujar Ronald.
Wee dakwa kerajaan telah melakukan ‘rompakan cukai’
Ketika sesi perbahasan itu, turut berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua ahli politik berhubung dakwaan Wee bahawa kerajaan telah melakukan ‘rompakan cukai’.
Wee kemudiannya meminta supaya Chong dan pihak pembangkang menarik balik kenyataan dan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
“Minta tarik balik. Itu kenyataan retorik. Setiap kali saya berucap, itulah gelagat mereka,” tegas Wee.

![“Lebih Efisien Dari NHS” – Lelaki Dari UK Bandingkan Sistem Kesihatan Awam Malaysia Dengan NHS [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/health-and-fitness.jpeg)