GEORGE TOWN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran sebuah premis hiburan di Jalan Penang di sini malam tadi, yang turut mengorbankan seorang pekerja binaan warga Myanmar.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, beberapa sampel bahan bukti telah diambil di lokasi kejadian berhampiran mayat mangsa dan akan dihantar ke Makmal Penyiasatan Kebakaran untuk analisis lanjut yang dijangka mengambil masa kira-kira 14 hari.
"Kebakaran melibatkan sebuah bangunan warisan dua tingkat berkeluasan 18 meter x 50 meter yang sebelum ini beroperasi sebagai pusat hiburan dan sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan restoran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohamad Shoki berkata, premis berkenaan tidak lagi beroperasi sejak hujung Februari lepas dan ketika kejadian, kerja-kerja pengubahsuaian sedang dijalankan di dalam bangunan.
Beliau berkata berdasarkan maklumat saksi dan komander operasi di lokasi, api dipercayai bermula di bahagian tengah tingkat bawah premis manakala pintu masuk hadapan dan belakang premis didapati tertutup serta berkunci ketika kejadian.
"Kesan kemusnahan yang ketara turut dikesan di kawasan berkenaan,” katanya, sambil menambah kebakaran mengakibatkan kemusnahan kira-kira 70 peratus struktur premis berkenaan.
Mohamad Shoki berkata, Unit Anjing Pengesan (K9) telah dimaklumkan dan akan digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, nilai kerugian, sumber nyalaan serta punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.50 malam tadi dan mayat mangsa Mohamad Boshi Sabi Ullah, 56, ditemukan di ruang tingkat bawah berdekatan pintu masuk hadapan premis terbabit dengan kesan melecur tahap satu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake dalam kenyataan memaklumkan kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut (LMM) telah dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. - Bernama
TAG: Mohamad Shoki Hamzah, JBPM Pulau Pinang, kebakaran, maut






