Bomba: Banjir kilat di Taman Sri Muda surut sepenuhya, penduduk dinasihat tidak panik

20 Aug 2022 • 10:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 OGOS: Banjir kilat dibeberapa kawasan sekitar Taman Sri Muda di sini surut sepenuhnya pada 6.30 petang tadi, maklum ketua pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata paras Sungai Klang juga berada dalam keadaan selamat dan air mulai surut.

“Sehingga kini tiada sebarang tindakan pemindahan mangsa dibuat berikutan keadaan di Taman Sri Muda terkawal.

“Pusat pemindahan sementara juga tidak dibuka berikutan tiada mangsa dipindahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada jam 5.05 petang tadi, JBPM Selangor menerima panggilan kejadian banjir di Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir di Taman Sri Muda susulan hujuan lebat.

Sebagai persediaan awal, Mohammad Hamdan berkata JBPM menggerakkan beberapa aset seperti lima buah bot penyelamat, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services ke lokasi kejadian membabitkan 24 anggota termasuk tiga pegawai kanan.

“JBPM Selangor berada dalam kesiapsiagaan penuh di Taman Sri Muda bagi menghadapi situasi banjir sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan turut menasihatkan penduduk sekitar kawasan berkenaan agar tidak panik dan terpengaruh dengan berita tular di media sosial.

“JBPM memohon kerjasama dari penduduk sekitar untuk mematuhi arahan keselamatan sekiranya berlaku sebarang kejadian banjir,” katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved