Bomba Berjaya Pujuk Lelaki Cuba Terjun Pencawang

25 Aug 2022 • 12:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang lelaki kurang siuman berjaya diselamatkan setelah dipujuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). - Gambar hiasan dari fail

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang cuba terjun dari sebuah pencawang telekomunikasi di Tanah Perkuburan Rancha-Rancha di Labuan, semalam berjaya diselamatkan setelah dipujuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam kejadian 3.45 petang itu, lelaki tersebut yang dipercayai kurang siuman bertindak memanjat pencawang berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 3.59 petang semalam.

“Seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera dikerah ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan mangsa.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, mangsa sedang memanjat pencawang berkenaan menuju ke puncaknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba terus bertindak mendekati mangsa sebelum berjaya memujuknya untuk turun ke tempat selamat kira-kira jam 4.31 petang.

Katanya, setelah diturunkan mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Balai Polis Rancha-Rancha untuk tindakan selanjutnya. - Getaran, 25 Ogos 2022