Bomba gempur rumah ‘sarang burung’ ancam keselamatan

LocalHome & Living
30 Jul 2026 • 12:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bomba gempur rumah ‘sarang burung’ ancam keselamatan

JOHOR BAHRU – Premis rumah kedai yang diubah suai menjadi penginapan padat atau dikenali sebagai ‘rumah sarang burung’ boleh menjadi perangkap maut kepada penghuni sekiranya berlaku kebakaran.

Situasi itu didedahkan hasil Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Premis Penginapan Padat (Rumah Sarang Burung) yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar bandar raya ini, hari ini.

Pengarah JBPM Johor, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Siti Rohani Nadir berkata, siasatan mendapati kebanyakan premis terbabit diubah suai tanpa kelulusan apabila pemilik menyerahkan pengurusan bangunan kepada ejen yang kemudian membina petak-petak bilik kecil untuk disewakan.

Menurut beliau, bilik yang berkeluasan antara sembilan hingga 12 meter persegi itu disewakan pada kadar RM350 hingga RM550 sebulan kepada pekerja tempatan, individu yang bekerja di Singapura serta keluarga yang mencari tempat tinggal pada kadar sewa lebih murah.

“Hasil pemeriksaan mendapati banyak premis mempunyai laluan keluar yang terhalang, hanya satu tangga kecemasan, selain sistem pencahayaan, pengudaraan dan ciri keselamatan kebakaran yang tidak memuaskan.

“Keadaan ini amat berbahaya kerana jika berlaku kebakaran, penghuni berisiko terperangkap dan sukar menyelamatkan diri,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi di Dataran Larkin di sini hari ini.

Beliau berkata, sebuah unit yang diperiksa mempunyai 15 bilik kecil dengan anggaran lebih 20 penghuni, sekali gus menunjukkan tahap kepadatan yang tinggi dan tidak sesuai dijadikan tempat penginapan.

Katanya, setiap pengubahsuaian yang menukar fungsi rumah kedai kepada asrama atau penginapan wajib mendapat kelulusan pelan daripada JBPM dan pihak berkuasa tempatan, namun perkara itu gagal dipatuhi pemilik premis.

“JBPM akan mengeluarkan notis bagi setiap kesalahan yang dikesan termasuk halangan laluan keluar, ketiadaan lampu kecemasan dan kegagalan menyediakan sistem perlindungan kebakaran. Lebih 10 notis boleh dikeluarkan terhadap sebuah premis bergantung kepada jumlah pelanggaran yang ditemui,”katanya.

Beliau berkata, pemilik yang gagal mematuhi notis dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan tindakan pendakwaan mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Tambahnya, operasi hari ini melibatkan pemeriksaan terhadap sembilan premis di sekitar Johor Bahru, namun pemerhatian mendapati masih banyak bangunan lain dipercayai dijadikan ‘rumah sarang burung’ dan operasi akan diperluaskan ke daerah lain bagi memastikan keselamatan penghuni terus terpelihara.-KOSMO! ONLINE

The post Bomba gempur rumah ‘sarang burung’ ancam keselamatan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved