Bomba jalan kaki 3km papah remaja sesak nafas daki Gunung Irau

LocalHealth & Fitness
24 May 2026 • 9:39 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bomba jalan kaki 3km papah remaja sesak nafas daki Gunung Irau
Pasukan penyelamat memapah mangsa turun ke kawasan selamat sebelum diberikan rawatan lanjut.

IPOH - Seorang remaja perempuan terpaksa dipapah turun sejauh kira-kira tiga kilometer selepas mengalami sesak nafas ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Irau, sempadan Perak-Pahang pada malam Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.32 malam.

Menurutnya, mangsa yang merupakan wanita berusia 21 tahun dilaporkan mengalami kesukaran bernafas ketika mendaki gunung berkenaan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bersama bantuan BBP Brinchang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak di Agroto Business, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 9.15 malam sebelum beberapa malim gunung yang keluar lebih awal menunjukkan arah kepada pasukan penyelamat menuju lokasi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, lokasi mangsa dianggarkan sejauh enam kilometer dari pondok Polis Bantuan, namun kenderaan hanya boleh memasuki kawasan sejauh tiga kilometer sebelum pasukan perlu meneruskan perjalanan secara berjalan kaki.

Katanya, Ketua Operasi, Mohammad Nafis Nazmi Abdul Hadi bersama tiga anggota bomba, dua malim gunung, seorang pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta seorang orang awam memasuki kawasan hutan untuk memberikan bantuan.

“Setibanya di lokasi mangsa, pasukan EMRS menjalankan rawatan awal menggunakan konsep SAVER sebelum mangsa diselimutkan dengan kain tebal bagi menstabilkan keadaannya.

“Mangsa kemudian dipapah turun dari gunung sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya.

Menurut beliau, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 11.10 malam.

Operasi yang melibatkan keseluruhan 16 anggota bomba itu tamat sepenuhnya pada jam 12.40 tengah malam Sabtu.