
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan pertambahan insiden terutama kemalangan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Pengarahnya Awang Hidzel Awang Bujang berkata antara inisiatif dilaksanakan pihaknya ialah mengadakan program kesedaran dan menyusun strategi awal bagi memberi penekanan kepada pendidikan, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keselamatan.
“Dalam aspek kebombaan dan penyelamat, JBPM Kedah telah mengatur gerak rondaan di kawasan-kawasan panas kemalangan jalan raya semasa musim cuti Tahun Baharu Cina.
“Langkah proaktif seperti menempatkan pegawai dan anggota di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun, Lebuhraya Utara-Selatan diambil bagi memendekkan tempoh respons jika berlaku kemalangan di lebuh raya itu,“ katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pemanduan Berhemat Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.
Beliau berkata statistik kemalangan jalan raya setiap kali Op Raya Cina di negeri ini kebiasaannya menunjukkan peningkatan apabila 14 kes direkodkan pada 2021 manakala 2022 ( 22 kes) dan 2023 (27 kes).
Sehubungan itu, katanya tahap kesiapsiagaan perlu dipertingkatkan bagi mencerminkan kepakaran dan profesionalisme JBPM Kedah dalam menangani cabaran keselamatan terutama pada musim perayaan.
Menurut Awang Hidzel di Kedah terdapat sebanyak 44 pasukan bomba sukarela yang turut membantu melancarkan operasi JBPM. -Bernama
