KLUANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan misi penerbangan khas “mercy flight” bagi membantu pemindahan organ pendermaan buah pinggang di Johor pada Isnin.
Misi kemanusiaan itu digerakkan susulan permohonan daripada Pusat Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menerima kes pendermaan organ dari Hospital Enche’ Hajjah Khalsom di sini.
Difahamkan, keluarga pesakit yang disahkan mati otak bersetuju menderma buah pinggang bagi memberi peluang hidup kepada pesakit lain yang memerlukan.
Bagi memastikan proses berjalan lancar, JBPM melalui Bahagian Udara mengatur penerbangan membawa pasukan perolehan organ bersama peralatan perubatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kota Tinggi ke UniKL MIAT, Subang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I Muhammad Tarmizi Md Jaafar berkata, operasi itu menggunakan helikopter Mi-17 dengan kekuatan sembilan anggota.
“Pasukan diketuai Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Faizal Abd Latiff bersama tiga petugas perubatan selain membawa peralatan dianggarkan seberat 40 kilogram.
“Helikopter mendarat di padang sekolah pada jam 12 tengah hari sebelum berlepas ke destinasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, misi itu dikategorikan sebagai operasi “Medical Evacuation” (MEDEVAC) yang memerlukan tindakan pantas serta koordinasi rapi antara agensi.
Katanya, pemindahan organ perlu dilakukan dalam tempoh singkat bagi memastikan ia kekal dalam keadaan optimum sebelum dipindahkan kepada penerima di HKL dan Hospital Selayang.
“Kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan JBPM membuktikan kecekapan agensi dalam menyelamatkan nyawa.
“Misi ini bukan sahaja memberi harapan baharu kepada pesakit, malah mencerminkan semangat kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat,” katanya.
