Bomba Nafi Beri Kebenaran Sukarelawan NGO Masuk Tapak Bencana Bantu SAR

19 Dec 2022 • 2:29 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tiada sebarang kebenaran diberikan kepada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan awam atau individu untuk masuk ke tapak bencana kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

Demikian penafian dibuat oleh Pusat Gerak Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berhubung dakwaan sekumpulan sukarelawan NGO yang mendakwa mendapat kebenaran masuk ke tapak bencana berkenaan.

Malah dalam masa sama, gambar sukarelawan tersebut yang mendakwa dapat kebenaran membantu SAR mangsa terperangkap di bawah runtuhan turut tular pada 16 Disember baru-baru ini.

“Pihak JBPM dengan ini menafikan ada memberi sebarang kebenaran dalam apa jua bentuk kepada mana-mana pasukan sukarelawan awam atau individu menyertai operasi.

“Ini selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara iaitu hanya anggota dan agensi penyelamat yang terlatih dibenarkan berada di kawasan operasi Zon Merah,” maklum kenyataan itu hari ini.

Tegas JBPM, sebaliknya lima agensi yang dibenar menyertai SAR hanyalah JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam pada itu, difahamkan terdapat tiga aspek utama yang diambil kira untuk anggota-anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan.

“Dengan keadaan lembut dan jika hujan berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran di kawasan runtuhan.

“Keadaan ini memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan kita menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka.

“Oleh itu, kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di sini (kejadian tanah runtuh),” tambah kenyataan itu.

Difahamkan, hari ini merupakan hari keempat operasi SAR dijalankan bagi mencari sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh.

Setakat ini, 24 mangsa disahkan meninggal dunia dan 61 orang daripada keseluruhan 94 mangsa berjaya diselamatkan.