
IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak bakal menerima 10 bot baharu jenis Whaly bagi kesiapsiagaan menghadapi banjir sepanjang musim monsun timur laut di negeri ini.
Pengarahnya Azmi Osman berkata bot itu yang dijangka diperoleh hujung bulan ini dapat menampung keperluan 57 bot sedia ada supaya operasi menyelamat mangsa banjir terutama di kawasan yang sukar dilalui dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
“Bot ini hanya mampu memuatkan enam orang sahaja pada satu-satu masa dan ia boleh melalui lorong atau kawasan sempit seperti taman perumahan. Kita akan mengagihkan bot ini kepada balai bomba yang memerlukan.
“Kita juga akan menerima 34 pelaung untuk digunakan semasa proses menyelamat mangsa banjir terutama pada waktu malam,“ katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian penutupan Cabaran Kokurikulum Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia Peringkat Kebangsaan 2022 yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Datuk Edwin Galan Teruki di sini hari ini.
Pada September lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata Perak mempunyai 76 lokasi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ banjir.
Saarani berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif bagi menghadapi musim tengkujuh apabila Perak dijangka menerima hujan yang lebih lebat dalam bulan ini hingga Disember.
Sementara itu, Edwin berkata seramai 91,000 anggota kadet bomba akan membantu memudahkan operasi pemindahan mangsa banjir.
Beliau berkata pihaknya yakin dengan latihan yang diberikan kepada kadet bomba di 1,115 sekolah di seluruh negara.
“Ada ketikanya anggota bomba menghadapi masalah dalam operasi pemindahan mangsa banjir, jadi peranan kadet bomba ini dalam memberi bantuan semasa bencana banjir amat diperlukan.
“Ada mangsa yang sukar hendak pindah dari tempat banjir, jadi kita pesanlah kepada kadet bomba mungkin dia boleh menasihatkan keluarga dia (berpindah) kalau berlaku banjir ini. Lupakan saja apa yang ada dalam rumah sebab nyawa lagi penting,“ katanya.-Bernama

