Bomba Perak tidak toleransi pegawai terlibat kes tatatertib, disiplin

21 Jun 2023 • 2:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak tidak akan bertoleransi dengan pegawainya yang terlibat dengan kes tatatertib dan disiplin terutamanya penyalahgunaan bahan terlarang seperti dadah dan ketum.

Pengarahnya Sayani Saidon (gambar) berkata bagi tahun lepas, terdapat dua kes tatatertib iaitu khalwat dan pemalsuan dokumen serta tujuh kes penyalahgunaan dadah dilaporkan dalam kalangan pegawainya.

“Kita akan mengadakan ujian urin secara rawak di setiap balai bomba untuk memastikan bilangan pegawai terlibat dalam penyalahgunaan barang terlarang dapat dikekang.

“Pemantauan akan terus dilakukan dan sesiapa yang terlibat akan dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk membantu memulihkan di peringkat awal,” katanya pada sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Jun 2023 dan Pemakaian Tanda Pangkat di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini hari ini.

Katanya pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin yang keras termasuk dibuang kerja kepada pegawai yang terlibat dalam kes seumpama itu.

Selain itu, Sayani berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pengusaha rumah inap dan chalet negeri ini yang berada di kawasan sungai dan air berhubung keselamatan pengunjung bagi mengelakkan kes lemas.

“Saya akan meminta ketua-ketua balai bomba mengenal pasti kawasan-kawasan riadah yang menjadi tumpuan masyarakat supaya boleh melaksanakan pendekatan untuk meningkatkan aspek keselamatan.

“Pengusaha penginapan di kawasan sungai dan kepala air ini diminta bertanggungjawab memberi peringatan kepada pengunjung tentang bahaya yang ada di persekitaran mereka,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan pekebun supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk tujuan membersihkan kebun kerana ia mudah merebak ketika musim panas.

“Ada sesetengah tempat memang ada kebenaran Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan kerja pembersihan dengan melakukan pembakaran namun proses itu perlu dikawal dan tidak dibiarkan, untuk menjaga alam sekitar,“ katanya.

Beliau berkata tiga kawasan mencatatkan kes kebakaran terbuka paling tinggi tahun ini iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh sebanyak 28 kes, Seri Manjung (24) dan Sitiawan (26), melibatkan kawasan hutan, belukar atau lalang dan sampah. -Bernama