Bomba Sabah gesa henti pembakaran terbuka

LocalEnvironment
12 Aug 2026 • 3:55 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Bomba Sabah gesa henti pembakaran terbuka

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menggesa orang ramai menghentikan sebarang pembakaran terbuka, susulan jerebu rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia yang mula menjejaskan kualiti udara di negeri itu.

Pengarah JBPM Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz berkata ruang udara di kawasan seperti Kota Kinabalu dan Kimanis, dilihat mula diselubungi jerebu ekoran kebakaran hutan di wilayah jiran berkenaan.

“Tiupan angin dari arah selatan dan tengah Borneo, membawa kepulan asap tebal terus ke bahagian utara Borneo, sekali gus menjejaskan jarak penglihatan serta kualiti udara di Sabah.

“Cuaca panas dan kering meningkatkan risiko kebakaran, justeru bersama-sama kita cegah, lindungi nyawa, harta benda dan alam sekitar, kerana pembakaran terbuka itu satu kesalahan,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Semakan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) petang ini mendapati, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sabah pada tahap sederhana (hijau) dengan tertinggi di stesen Kota Kinabalu pada 83, Politeknik Kota Kinabalu (81) dan Kimanis (76).

Mohd Pisar memberitahu walaupun IPU di kawasan terjejas berada pada tahap sederhana, golongan berisiko seperti pesakit asma, kanak-kanak dan warga emas dinasihatkan supaya sentiasa meningkatkan langkah berwaspada.

Beliau berkata daerah Keningau dan Pitas, turut merekodkan keadaan cuaca kering tanpa hujan selama tujuh hari berturut-turut sehingga 10 Ogos, sekali gus tertakluk di bawah kriteria Pengharaman Pembakaran Terbuka.

“Larangan pembakaran terbuka itu merangkumi aktiviti membakar sampah sarap, daun kering, sisa kebun, sisa pembinaan mahupun sebarang bahan secara terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan jerebu,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan mengehadkan aktiviti luar pada waktu puncak panas antara 11 pagi hingga 4 petang, mengurangkan pendedahan fizikal, minum air secukupnya serta menggunakan pelitup muka apabila berada di kawasan berjerebu.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan supaya memastikan keselamatan di rumah dengan memeriksa pendawaian elektrik secara berkala serta tidak membuang puntung rokok merata-rata bagi mengelakkan punca api.

Orang ramai digesa agar sentiasa peka dengan persekitaran dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau insiden kebakaran kepada pihak bomba dengan menghubungi talian kecemasan 999.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved