SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun berdepan detik cemas apabila kakinya tersepit pada saluran paip di bilik air sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 12.13 tengah hari
"Seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh sembilan kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
**media[3487487]**
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya tiba pada jam 12.23 tengah hari sebelum melakukan penilaian awal keadaan di tempat kejadian.
"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah tersepit pada bahagian kaki di dalam saluran paip di bilik air kediaman berkenaan.
"Kita melaksanakan tindakan pemotongan paip menggunakan peralatan khas sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat," katanya.
Menurutnya, mangsa seterusnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.
