
SIPITANG: Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang menerima tiga panggilan kecemasan membabitkan satu kemalangan jalan raya dan dua kes ular tedung selar, kata Ketua Balai, Calvin Joe Jeafery.
Katanya, kemalangan di Simpang Samur pada Khamis jam 8.30 pagi melibatkan sebuah Perodua Myvi yang melanggar pagar besi pembahagi jalan.
Lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan, dengan seorang lelaki warga emas 63 tahun dilapor patah tulang rusuk.
Pada Rabu jam 7.01 pagi, bomba menangkap seekor ular tedung selar di Kampung Cina Mesapol menggunakan penjerut.
Kira-kira jam 11.26 Khamis malam pula, seekor lagi ular tedung selar ditangkap berhampiran pintu rumah di Kampung Lubok Darat menggunakan peralatan khas.
Kedua-dua ular itu dilepaskan ke habitat asal.



