Usahawan terkenal, Bonda Rozita, menjadi perhatian selepas videonya di TikTok tular, memaparkan pandangannya berhubung punca kanak-kanak menghidap autisme dan masalah kesihatan mental.
Dalam perkongsian tersebut, Bonda Rozita mendakwa bahawa zaman dahulu jarang terdapat kes autisme kerana ibu-ibu ketika itu kurang mengalami tekanan emosi atau stres.
Stres punca anak hidap autisme, slow learner
Menurutnya, stres yang dialami ibu semasa hamil boleh memberi kesan kepada bayi dalam kandungan sehingga menyebabkan autisme atau perkembangan lambat (slow learner).
“Orang zaman dulu jarang dapat anak autisme. Jarang anak dapat kesihatan mental yang pelbagai. Sebab mereka kurang stres. Jadi you all, sebelum mengandung make sure belajar mengawal stres,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa toksik emosi yang dialami ibu boleh memberi kesan kepada bayi yang belum mampu menyeimbangkan emosinya sendiri. Selain itu, beliau menyentuh mengenai asid folik yang diambil ibu mengandung, menyatakan bahawa ia sebahagiannya adalah toksik, meskipun mengakui ia membantu menguatkan janin dan menambah darah. Bonda Rozita menyarankan mendapatkan asid folik secara semula jadi daripada makanan seperti sayuran bayam dan asparagus.
Beliau menggesa golongan muda agar kembali kepada pendekatan holistik dan mempercayai kehebatan sumber semula jadi yang diciptakan Tuhan.
Pandangan tanpa asas kukuh
Bagaimanapun, kenyataan Bonda Rozita itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial. Ramai berpendapat autisme sudah wujud sejak dahulu, namun kesedaran, diagnosis dan laporan kes pada masa itu sangat terhad berbanding zaman sekarang.
Ada juga yang menegaskan autisme bukan berpunca daripada tekanan emosi ibu, sebaliknya lebih kepada faktor genetik dan perkembangan neuron dalam otak. Sebahagian netizen turut menekankan autisme adalah sebahagian daripada kepelbagaian neuro dan bukannya penyakit berpunca daripada kegagalan mengawal stres.
Selain itu, ada yang mengkritik pendekatan holistik yang dikemukakan, dengan menganggap pandangan tanpa asas kukuh dalam bidang perubatan boleh mengelirukan masyarakat. Malah, perkongsian tersebut sebagai satu bentuk penyebaran maklumat yang tidak berlandaskan bukti saintifik.
Menurut rujukan daripada Mayo Clinic dan Autism Speaks, sehingga kini punca sebenar autisme masih belum diketahui secara tepat. Faktor genetik dikenalpasti memainkan peranan besar, manakala faktor persekitaran tertentu masih dalam peringkat kajian. Tekanan semasa kehamilan bukanlah punca utama yang disahkan dalam penyelidikan perubatan moden.
The post Bonda Rozita kaitkan stres ibu mengandung dengan risiko anak autisme appeared first on The Reporter.





