
Kota Kinabalu: Pasukan Bongawan Super Vet dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Piala Mimpaagat DCMM 50s 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Penampang pada hujung minggu lalu.
Mereka menewaskan pasukan tuan rumah Mimpaagat Titans 2-0 dalam perlawanan akhir untuk merangkul trofi serta hadiah wang tunai kemenangan RM7,000 manakala naib juara membawa pulang RM5,000.
Sebanyak 13 pasukan dari kawasan pantai barat dan pedalaman mengambil bahagian dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Mimpaagat Tokou Sabah (KRMTS) dengan tajaan Datuk Ceasar Mandela Malakun itu.
Pengerusi kejohanan Datuk Robert Stidi memuji semua pasukan atas semangat kesukanan dan daya saing yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.
“Kejohanan ini bukan sekadar tentang bola sepak, ia juga tentang persahabatan, kecergasan dan mengekalkan semangat permainan walaupun sudah berusia lebih 50 tahun,” katanya.
Sementara itu, jurucakap penganjur Eddy Limbang merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan penaja atas sokongan mereka serta kepada penyokong yang hadir memeriahkan kejohanan.
“Kami berbangga melihat pemain-pemain veteran masih aktif dan bersemangat dalam sukan ini. Kegembiraan dan perpaduan yang ditunjukkan di sini menggambarkan semangat sebenar bola sepak komuniti,” katanya.
