
Bonnie Bunyau Gustin Terima Insentif RM1.5 Juta Selepas Kejayaan Pertahan Emas di Paralimpik Paris
Bonnie Bunyau Terima Jumlah Insentif RM1.5 Juta Dari Sarawak Dan Persekutuan. Sarawak sekali lagi mencatatkan sejarah dalam sukan antarabangsa apabila atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin, berjaya mempertahankan pingat emas serta memecahkan rekod dunia di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Atas kejayaan tersebut, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan insentif sebanyak RM500,000 sebagai tanda penghargaan kepada Bonnie.

Pertahan Emas di Paralimpik Paris, Bonnie Bunyau Diberi Insentif RM1.5 Juta
“Bonnie adalah contoh teladan yang wajar kita contohi. Saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana berjaya memecahkan rekod dunia serta membawa nama Malaysia dan Sarawak ke persada antarabangsa,” kata Abang Johari semasa berucap di majlis pembukaan Para Sukma di Stadium Perpaduan, Kuching.
Beliau turut berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada para atlet muda, terutamanya yang menyertai Sukan Para SUKMA, untuk berusaha lebih keras dan meraih kejayaan pada masa depan.
Selain insentif daripada kerajaan negeri Sarawak, Bonnie juga akan menerima ganjaran RM1 juta daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Ini menjadikan jumlah keseluruhan insentif yang akan diterima oleh Bonnie sebanyak RM1.5 juta.
Kejayaan Bonnie di Paris 2024 adalah sesuatu yang luar biasa apabila beliau berjaya mengangkat beban seberat 232 kilogram dalam kategori lelaki 72 kilogram, sekali gus memecahkan rekod dunia 231 kilogram yang pernah dicatatkannya pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai. Rekod baharu ini juga melebihi angkatannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, di mana beliau mencatatkan 228 kilogram, yang turut merupakan rekod Paralimpik ketika itu.
Premier Sarawak, dalam ucapannya, turut menegaskan bahawa negeri tersebut komited dalam melatih atlet para yang berpotensi untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa, selain menyumbang kepada pembangunan sukan di Malaysia.
“Saya ingin memaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bahawa Sarawak bersedia untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan di seluruh negara. Itulah sebabnya kami bersetuju untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027,” kata beliau.
Abang Johari turut menyatakan keyakinannya bahawa para atlet SUKMA mampu bukan sahaja mencipta kejayaan tetapi juga membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup.
Dengan pencapaian cemerlang ini, Bonnie Bunyau Gustin telah mengharumkan nama negara dan Sarawak di mata dunia, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi atlet muda yang lain.


