
PETALING JAYA: Harta diperoleh tanpa hak wajib dikembalikan jika terbukti diperoleh melalui cara yang tidak sah menurut undang-undang dan Syariah selaras prinsip amanah dalam pengurusan dana awam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, namun isu tuntutan semula hibah Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dilihat melalui proses undang-undang sebelum sebarang keputusan dibuat terhadap penerima terlibat.
Katanya, syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH bukanlah keputusan mahkamah dan tidak menyebabkan bonus berkenaan terbatal secara automatik atau perlu dipulangkan.
“Pembayaran bonus boleh dipersoalkan sekiranya didapati dibuat tanpa mematuhi prosedur ditetapkan atau melangkaui kuasa yang diberikan kepada pihak meluluskan bayaran tersebut.
“Namun, pihak penerima bonus masih mempunyai hak mempertahankan diri dengan mengemukakan bukti bahawa pembayaran dibuat mengikut peraturan dan diterima secara suci hati,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, RCI mendapati antara faktor yang TH menghadapi krisis kewangan sebelum ini adalah disebabkan pembayaran hibah yang tinggi.
Menerusi laporan RCI, ghairah membayar agihan keuntungan yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 telah melampaui kemampuan kewangan TH.
Mohd. Sukki berkata, prinsip keadilan Islam tidak membenarkan seseorang dihukum hanya berdasarkan dakwaan tanpa bukti kukuh melalui proses yang sewajarnya.
“Pihak yang mendakwa sesuatu pembayaran tidak sah perlu mengemukakan bukti, manakala penerima berhak memberi penjelasan terhadap perkara berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, jika terbukti bonus diberikan secara menyalahi undang-undang atau melanggar tanggungjawab fidusiari, tuntutan semula bayaran itu selaras dengan prinsip Syariah.
“Isu bonus TH bukan sekadar pemulangan wang, tetapi melibatkan integriti institusi, tadbir urus korporat dan amanah terhadap jutaan pendeposit,” katanya.
Katanya, isu tersebut berkait rapat dengan konsep amanah, keadilan dan pemeliharaan harta yang menjadi prinsip utama dalam pengurusan kewangan.
“Sebarang penyalahgunaan kuasa atau kelulusan bercanggah dengan undang-undang boleh dianggap sebagai pelanggaran amanah terhadap harta yang diuruskan selama ini,” katanya.
The post Bonus TH boleh dituntut jika langgar undang-undang appeared first on Utusan Malaysia.


