Boon Siew Honda Lancar Honda ADV160 Spider-Man Edition, Terhad 300 Unit Sahaja

LocalCars
17 Jul 2026 • 3:07 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Boon Siew Honda Lancar Honda ADV160 Spider-Man Edition, Terhad 300 Unit Sahaja

Boon Siew Honda secara rasmi memperkenalkan Honda ADV160 Spider-Man Edition, sebuah model edisi khas yang diinspirasikan daripada adiwira popular Marvel, Spider-Man. Model eksklusif ini dihasilkan dalam jumlah 300 unit sahaja untuk pasaran Malaysia.

Dilancarkan susulan kejayaan pengenalan Honda ADV160 pada Malaysia Bike Show 2026, edisi istimewa ini hadir dengan grafik dan livery eksklusif bertemakan Spider-Man, menjadikannya antara model paling unik yang pernah ditawarkan oleh Boon Siew Honda.

Honda ADV160 Spider-Man Edition menampilkan rekaan khas dengan logo Spider-Man serta jalur grafik yang diinspirasikan daripada kostum adiwira tersebut, sambil mengekalkan karakter asal ADV160 yang terkenal dengan gaya lasak, keselesaan tunggangan dan keupayaan untuk kegunaan harian mahupun pengembaraan jarak jauh.

Orang ramai boleh melihat model ini buat pertama kali di acara Marvel’s Spider-Man World of Webs yang berlangsung di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang bermula 16 Julai hingga 2 Ogos 2026. Selepas itu, motosikal ini akan mula ditawarkan di pengedar sah Honda Impian X serta pengedar terpilih di seluruh negara bermula 3 Ogos 2026.

Sebagai sebahagian daripada promosi filem Spider-Man: Brand New Day, Honda ADV160 Spider-Man Edition turut akan dipamerkan di beberapa pawagam GSC dan TGV terpilih di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru dari 30 Julai hingga 13 Ogos 2026.

Setiap pembelian turut didatangkan bersama Spider-Man Edition Gift Set yang merangkumi kotak hadiah premium, termos LED edisi khas, penutup tangki minyak eksklusif, emblem Honda dan ADV160 serta Kad Sijil Pemilik bernombor unik daripada 2 hingga 301 sebagai bukti pemilikan model edisi terhad tersebut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Kunitomo Asano, berkata Spider-Man merupakan watak yang membesar bersama ramai rakyat Malaysia dan terus menjadi simbol keberanian, ketabahan serta semangat pengembaraan.

Menurut beliau, Honda ADV160 Spider-Man Edition dihasilkan bagi membawa semangat tersebut ke dalam kehidupan seharian pemiliknya, di samping menawarkan sebuah skuter yang praktikal dan sarat dengan teknologi moden.

Model ini dibangunkan berasaskan Honda ADV160 RoadSync, lengkap dengan paparan TFT 5 inci bersama sistem Honda RoadSync yang membolehkan penunggang mengakses panggilan telefon, muzik serta navigasi secara lebih mudah ketika menunggang.

Ia turut dikuasakan enjin Enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang diperakui di bawah rangka kerja Energy Efficient Vehicle (EEV) Malaysia.

Dari aspek keselamatan, Honda ADV160 Spider-Man Edition dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem brek ABS, Smart Key System, Emergency Stop Signal (ESS) serta menerima penarafan keselamatan MyMAP 5-Star.

Ciri praktikal lain termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 30 liter, penghadang angin boleh laras, sistem Idling Stop System (ISS), lampu LED penuh serta ketinggian tempat duduk yang direka untuk memberikan keyakinan kepada pelbagai jenis penunggang.

Dengan pengeluaran yang dihadkan kepada hanya 300 unit dan tiada pengeluaran semula selepas habis dijual, Honda ADV160 Spider-Man Edition dijangka menjadi buruan peminat motosikal dan pengumpul memorabilia Marvel di Malaysia.

The post Boon Siew Honda Lancar Honda ADV160 Spider-Man Edition, Terhad 300 Unit Sahaja appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved