Bordeaux fail muflis

Football
27 Jul 2024 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
IMBAS KEMBALI...Penyokong Bordeaux mempamerkan tifo gergasi semasa aksi Ligue 2 menentang Rodez AF di Stadium Matmut Atlantique, Bordeaux, 2 Jun tahun lalu. Foto AFP

GERGASI Perancis, FC Girondins de Bordeaux memfailkan muflis selepas beberapa hari bekas juara Ligue 1 itu diturunkan pangkat ke Divisyen Tiga bola sepak negara tersebut, kata kelab yang beroperasi di Stadium Matmut Atlantique tersebut.

Direktorat Kawalan Pengurusan Kebangsaan awal bulan ini menurunkan juara enam kali liga teratas Perancis itu daripada Ligue 2 atas faktor kewangan yang menamatkan harapan kelab itu untuk bertahan.

Difahamkan keputusan itu diambil selepas pemilik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool Fenway Sport Group menarik diri dari rundingan pengambilalihan Les Girondins.

“Ia adalah satu keputusan sukar yang tidak dapat dielakkan daripada proses penstrukturan semula yang sedang dijalankan pihak kelab,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

Keputusan itu menyaksikan Bordeaux terpaksa meninggalkan status profesional yang dipegang sejak 1937, selain menutup akademi latihan yang membentuk pemain seperti Bixente Lizarazu, Jules Kounde, dan Zinedine Zidane.

Ditubuhkan pada 1881, FC Girondins de Bordeaux ialah salah satu kelab bola sepak paling terkenal di Perancis.

Enam kejuaraan Ligue 1, kemenangan terbaharu pada 2009, meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan kepada negara.

Era keemasan kelab pada 1980-an dicirikan dengan penguasaan domestik dan kempen Eropah yang menggerunkan pesaing di Eropah.

Pemain legenda telah berbakti bersama Bordeaux termasuk Alain Giresse, penjana kejayaan 1980-an, dan Zidane, yang mempamerkan bakatnya yang semakin berkembang di Bordeaux sebelum menjadi ikon global.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved