
Oleh Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 20 OGOS: Sebuah gelanggang futsal akan dibina di setiap kampung dalam kawasan Tanjong Sepat bagi memenuhi hasrat golongan belia mempunyai kemudahan aktiviti sukan.
Wakil Rakyatnya Borhan Aman Shah berkata cadangan itu antara janji beliau untuk pembangunan aktiviti belia pada kempen pilihan raya negeri lalu.
“Seperti yang telah saya kempen pada pilihan raya lalu, janji saya adalah membaiki kemudahan asas dan antaranya gelanggang futsal untuk merancakkan aktiviti fizikal golongan belia Tanjong Sepat.
“Cadangan saya adalah mewujudkan konsep ‘1 Kampung 1 Futsal’ yang akan dibawa kepada Kerajaan Negeri nanti,” katanya.

Beliau berkata pembinaan gelanggang futsal itu akan mempelbagaikan aktiviti sukan termasuk sepak takraw dan badminton.
Borhan memaklumkan pihaknya kini berusaha mencari kawasan tanah berpotensi untuk dijadikan fasiliti sukan.
“Fasiliti gelanggang sukan ini perlu dibuat betul-betul supaya ia boleh dijadikan aset di bawah Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Pencarian kawasan telah dilakukan di tanah milik Kerajaan Negeri atau Pejabat Tanah Daerah. Setakat ini saya lihat kawasan tanah di sebelah balai raya dan masjid berpotensi untuk dibangunkan kerana bukan hak individu,” katanya.
The post Borhan usaha tepati janji bina gelanggang futsal di setiap kampung appeared first on Selangorkini.
