
KUALA LUMPUR - Ramai antara kita beranggapan, body shaming hanya berlaku ke atas individu gempal, gemuk atau obes. Benarkah begitu?
Salah!
Ara Baharudin membuktikan bahawa body shaming tidak mengenal jantina, berat atau usia. Sesiapa sahaja boleh ‘dimangsakan’ selama mana pelakunya berniat begitu.
Memiliki berat hanya 43 kilogram dengan ketinggian 159cm, bekas penjawat awam itu muak dihina dengan pelbagai gelaran.
‘Papan lapis bergerak’ dan ‘tiang letrik’ antara yang selalu hinggap di telinganya, membuatkan beliau sering tertekan dan berasa rendah diri.
Bangkit Selepas Konflik
Beberapa masalah peribadi yang mengitari hidup akhirnya membuatkan Ara bangkit.
Beliau nekad untuk mengubah diri agar tidak lagi menjadi mangsa kejian ramai. Lebih dari itu, wanita bersemangat besi ini mahu mengangkat dirinya ke tahap lebih baik.

Sekitar 2012, gimnasium mula menjadi rakan baik dan dengan hasil bimbingan jurulatih bertauliah termasuk di peringkat nasional, perubahan demi perubahan kian kelihatan.
Dari tubuh kurus melidi, Ara dapat melihat bentuk badannya semakin ‘kemas’ dihiasi ketulan otot yang menampakkan dirinya lebih tegap, sihat dan bertenaga.
Bina Badan
Bermula 2019, Ara mula aktif ‘membina badan’. Diiringi bimbingan dua jurulatih, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah di peringkat nasional dan Pyan Misan khusus untuk bina badan, beliau tekun menjalani setiap rutin dan latihan diperlukan.
Tidak ada kejayaan tanpa usaha. No pain, no gain kata orang. Berbekalkan hakikat ini, Ara gigih menjalani pelbagai latihan walaupun ada kalanya ia begitu menduga.
“Untuk sukan bina badan, semuanya perlu diberi perhatian. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, segalanya ada markah.
“Kerana itu, senua latihan yang Ara lakukan ada fungsinya sendiri. Bukan suka-suka nak buat apa. Semua mesti ikut pelan yang jurulatih dah susun dan tetapkan,” katanya kepada Getaran, ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelas Ara, aspek pemakanan juga harus dikawal rapi, lebih-lebih lagi jika sedang melakukan persediaan untuk pertandingan.
“Biasanya untuk ‘prep’ sebelum pertandingan, Ara akan ambil masa tiga hingga empat bulan.
“Ketika ini semuanya akan dikawal rapi. Jumlah makanan yang diambil, jenis makanan, semua perlu dijaga. Boleh dikatakan ini waktu yang kritikal untuk Ara,” katanya.
Pertandingan Dan Kategori
Ara memberitahu, pertandingan bina badan memiliki pelbagai kategori, dan beliau sendiri bertanding di bawah kategori Wellness.
“Untuk kategori ini, saingan sengit di peringkat Asia selalunya datang daripada peserta Thailand. Kalau di peringkat dunia, jangan cakaplah. Peserta Barat semuanya sudah ke depan,” katanya.

Sekadar info, Ara bulan lalu berjaya menggondol tempat keempat dalam 5th Open Thailand Masters Games di Bangkok.
Pertandingan tersebut adalah yang kedua disertainya setakat ini, selepas terlebih dahulu berjaya menduduki kelompok 10 terbaik pada satu pertandingan bertaraf antarabangsa di Malaysia.
Penaja Dan Kos
Umum mengetahui, bina badan antara sukan yang menelan kos tinggi kerana setiap atlet perlu mengambil pelbagai jenis makanan tambahan (supplement), vitamin dan protein bersesuaian.
Ara ketika ditanya tidak menafikan perkara tersebut, namun jelasnya, semua perbelanjaan terbabit bukan lagi satu masalah sebaik sahaja mana-mana atlet berjaya mendapatkan penaja.
“Macam Ara sendiri, sebelum dapat penaja, Ara belanjakan antara RM2,000 hingga RM2,500 setiap kali. Tapi bila dah ada penaja, semua kos ditanggung beres,” katanya.
Angkat Berat Dan Salah Tanggapan
Menyentuh mengenai angkat berat, ramai wanita khuatir mereka akan tumbuh ‘sado’ dan ‘berketul-ketul’ seperti yang sering dimiliki atlet bina badan lelaki.
Tertawa besar Ara tatkala soalan berkenaan diajukan kepadanya.
“Tak adalah! Mana boleh jadi macam tu (sado dan berketul-ketul),” katanya menepis tanggapan itu.

Jelas Ara, tanpa latihan agresif dan mematuhi disiplin tertentu, sukan angkat berat tidak akan menjadikan mana-mana wanita sado atau berketul.
“Percayalah, angkat berat ni akan menjadikan tubuh badan kita lebih kemas, tegap dan terbentuk.
“Melainkan anda memang letak sasaran untuk jadi atlet bina badan, anda tak akan ‘sado’! Janganlah risau,” katanya, geli hati.
Ara memberitahu, banyak kebaikan senaman angkat berat untuk wanita, termasuk mencegah penyakit nyanyuk dan mengatasi masalah tulang reput.
“Tahu tak, angkat berat juga mencegah kita daripada bongkok. Kenapa? Sebab ia membuatkan struktur badan kita kemas. Bila semua otot terbentuk, jalan pun tegak dan tegap,” katanya.
Jadi ladies, tunggu apa lagi? Dah sedia untuk angkat berat? Ayuhlah!! - Getaran, 22 Februari 2025
