Bosch, KT Kitchen Hub jalin kerjasama strategik buka pusat pengalaman pertama di Johor
zulfadli
24/11/2023 - 09:52
KUALA LUMPUR 24 Nov - Bosch Home Appliances, jenama dalam sektor peralatan rumah membuka Pusat Pengalaman Bosch sulungnya di Johor yang juga merupakan kedai pertamanya di wilayah selatan.
Terletak di Pusat Beli-Belah Toppen, cawangan itu merupakan pusat pengalaman ketiga jenama tersebut di Malaysia, mengikuti cawangan di Jalan Klang Lama dan Publika, Kuala Lumpur.
Penubuhan cawangan tersebut adalah sebahagian daripada kerjasama strategik bersama KT Kitchen Hub Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif BSH Home Appliances Sdn Bhd, Gary Te berkata, ia menandakan satu langkah penting dalam strategi pengembangan dan pihaknya berbesar hati untuk membina kerjasama kukuh bersama KT Kitchen Hub dalam usaha itu.
"Johor merupakan pasaran yang berkembang pesat untuk peralatan rumah premium dan menunjukkan potensi yang amat besar untuk pertumbuhan selanjutnya.
"Kami yakin bahawa warisan Jerman kami, digabungkan pemahaman mendalam tentang budaya tempatan, rangkaian perkhidmatan kami yang mantap, dan dedikasi terhadap inovasi yang berpaksikan pengguna, akan membolehkan kami menyampaikan nilai signifikan kepada para pengguna di rantau ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Te, pihaknya menawarkan pelbagai produk daripada peralatan memasak, mesih basuh dan pengering, mesin basuh pinggan mangkuk kepada peti sejuk dan peralatan elektrik kecil.


"Penubuhan pusat pengalaman ini adalah untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang eksklusif dan interaktif untuk para pelanggan kami," katanya.
Pengarah KT Kitchen Hub, Jacky Wong berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama strategik dengan BSH Home Appliances untuk memperkenalkan rangkaian produk hebat dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat di Johor.
Katanya, pihaknya secara konsisten berusaha untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik kepada para penduduk Johor.

"Dengan pelancaran pusat pengalaman peralatan rumah Bosch sulung di sini yang mempamerkan portfolio peralatan rumah yang luas, kami berjanji untuk menyampaikan pengalaman yang diperkayakan kepada semua pelanggan.
"Kami amat yakin dengan kualiti unggul Bosch, dan melalui pendekatan berpaksikan pelanggan, kami boleh menanamkan keyakinan kepada para pengguna dan meletakkan Bosch sebagai salah satu jenama peralatan rumah paling digemari di Johor," katanya.

Sempena pelancaran tersebut, Bosch Home Appliances dan KT Kitchen menganjurkan aktiviti dari 23 November hingga 31 Disember, dengan promosi dan hadiah istimewa bernilai RM7,000 untuk dimenangi. - DagangNews.com


