Bot dan empat nelayan Indonesia ditahan tangkap ikan di perairan P. Pinang

19 Dec 2022 • 3:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama empat warganya kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran, di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi, dekat sini semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata kapal peronda APMM yang sedang menjalankan Op Tanjung telah menahan bot itu pada 11 pagi selepas mendapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati bot itu berpangkalan di Pantai Labu, Sumatera Utara dan dikendalikan oleh empat nelayan Indonesia berusia 35 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit menangkap ikan di perairan Malaysia,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kes disiasat menurut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.-Bernama