Bot karam: 11 PATI didakwa di Mahkamah Langkawi

LocalPolitics
19 Nov 2025 • 2:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada 9 November lalu.

LANGKAWI – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terselamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

Kesemua tertuduh terdiri daripada sembilan warga Myanmar, dua warga Bangladesh dan seorang yang belum dapat dipastikan kewarganegaraannya.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 8 November lalu di perairan Langkawi.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mirza Mohamad dalam bahasa Melayu, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana ketiadaan jurubahasa.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa disediakan dan laporan pergigian dikemukakan bagi mengesahkan umur beberapa tertuduh yang masih remaja.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana memasuki Malaysia tanpa pas atau permit sah, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta tidak lebih enam kali sebatan.

Tertuduh terdiri daripada tujuh lelaki Myanmar iaitu Rozibullah; Muhamad Yasin, Nurhossain dan Mofizuirahaman yang masing-masing berusia 17 tahun; Eman Shorif, 18; Anowar Hason, 21; dan Rahmatullah, 43; serta seorang wanita Myanmar, Senowara, 28.

Dua lagi lelaki ialah warga Bangladesh, Sayed Alam, 20, dan Mohamad Norul Kobir Nuro, 24; manakala Abdul Salam, 24, pula kewarganegaraannya belum dikenal pasti.

Timbalan Pendakwa Raya, Ain Nur Sofea Noridan mengendalikan pendakwaan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut tidak membenarkan jaminan terhadap mereka.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 migran dipercayai etnik Rohingya dan warga Bangladesh berlayar dari Buthidaung, Myanmar menggunakan sebuah kapal induk selama dua minggu sebelum dipindahkan ke bot lebih kecil.

Bot kecil yang membawa kira-kira 70 migran itu kemudian karam berhampiran Pulau Tarutao, menyebabkan 14 orang terselamat, 29 maut di perairan Langkawi dan kira-kira 10 mayat lagi ditemukan di perairan Thailand oleh pihak berkuasa negara jiran.