Bot karam, lima pemancing letih dan kesejukan diselamatkan

22 Jun 2026 • 2:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot karam, lima pemancing letih dan kesejukan diselamatkan
Pemancing ditemukan dalam keadaan keletihan dan kesejukan selepas bot mereka karam di perairan Pulau Nunuyan.
Image from: Bot karam, lima pemancing letih dan kesejukan diselamatkan
Lima pemancing yang diselamatkan Maritim Malaysia selepas bot mereka naiki karam di perairan Pulau Nunuyan.

SANDAKAN - lima pemancing nyaris lemas selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Nunuyan, pada petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, kesemua lelaki berusia 38 hingga 59 tahun yang dalam keadaan letih dan kesejukan itu berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di lokasi tersebut.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Sandakan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.15 petang.

"Menurut maklumat, kesemua mangsa telah keluar dari Jeti Nelayan Karamunting kira- kira jam 6 pagi untuk memancing di sekitar perairan Pulau Nunuyan.

"Namun, bot yang dinaiki dipercayai telah karam akibat dipukul ombak besar semasa dalam perjalanan pulang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3558798]**

Beliau berkata, pengadu telah membuat panggilan untuk memohon bantuan kecemasan kepada pihak Maritim Malaysia.

"Sejurus menerima maklumat, Maritime Rescue Sub - Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah mengatur gerak aset iaitu Bot Banggi 44 dan Bot Cenderawasih 04 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

"Tindakan pantas anggota dan aset Maritim Malaysia yang digerakkan ke lokasi, kesemua lima warga tempatan berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke Jeti IPMZ Sandakan untuk tindakan lanjut.

"Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya mengalami keletihan dan kesejukan," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk memberikan bantuan kepada komuniti maritim yang berdepan kecemasan di laut.

"Pengguna bot dan komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan yang mencukupi serta memakai jaket keselamatan sepanjang berada di laut.

"Mereka juga perlu sentiasa memantau keadaan cuaca dan memastikan bot tidak melebihi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," ujarnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved