Bot karam: Mayat ke-10 ditemukan nelayan, empat masih hilang

15 May 2026 • 9:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bot karam: Mayat ke-10 ditemukan nelayan, empat masih hilang
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima diteruskan pada jam 7 pagi tadi bagi mencari empat lagi mangsa hilang. Foto Bernama

IPOH - Satu lagi mayat mangsa bot membawa warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor ditemukan malam tadi, menjadikan jumlah mangsa maut setakat ini 10 orang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat lelaki itu ditemukan nelayan pada jam 7.40 malam di kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.

"Mayat dipindahkan ke aset Pasukan Polis Marin (PPM) PSC 16 dari vesel nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh pada 9.35 malam untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Maritim Malaysia memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kelima diteruskan pada jam 7 pagi tadi bagi mencari empat lagi mangsa hilang.

Dalam kejadian 11 Mei, sebuah bot dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin Indonesia dilaporkan karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju beberapa destinasi di Malaysia.

Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan. - Bernama