
TAWAU: Sebuah bot penumpang tempatan disyaki bot penyeludup minyak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau kerana membawa muatan bahan api tanpa sebarang permit dalam kejadian lewat petang Rabu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebelum itu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris mengesan bot dalam keadaan mencurigakan itu bergerak laju dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik sekitar jam 6.20 petang.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia, 42, mendapati lima gelen petrol dan diesel dianggarkan 150 liter, serta dua tong gas LPG di dalam bot tersebut.
“Barang kawalan itu dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran,” katanya.
SPONSORED CONTENT Shell awards Sabah LiveWIRE winners Kota Kinabalu: Shell has awarded five enterprises as the state winners of Shell LiveWIRE Malaysia 2024, following the Sabah state finals held at Plaza Shell in Kota Kinabalu. . Read more Shahrizan berkata, bot serta muatan tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.
Kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Kesemua barangan, termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh ‘runner minyak’ dengan membawa bahan api tersebut dalam kuantiti kecil secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan barang-barang kawalan ke negara jiran.
Katanya, penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti perlanggaran undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.
Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan, justeru aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.
Shahrizan turut meminta komuniti maritim menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut secara langsung ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau melalui talian 089-750116 atau MERS 999.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
