PUTRAJAYA - Sebuah bot persiaran yang berada di pusat penyelenggaraan di Presint 19 di sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berkaitan insiden itu kira-kira jam 5.18 petang.
"Seramai 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 serta BBP Presint 7 bergegas ke lokasi kejadian.
"Pasukan bomba yang tiba kira-kira jam 5.27 petang mendapati kebakaran melibatkan sebuah bot yang berada di atas darat di pusat penyelenggaraan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
**media[3455421]**
Menurut kenyataan itu, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos dengan sumber air daripada tangki jentera serta satu aliran buih bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
"Turut berada di lokasi kejadian ialah pihak polis serta anggota penguat kuasa Perbadanan Putrajaya," katanya.

