
AMPANG – Tangisan seorang pemuda ketika membotakkan rambutnya di sebuah premis gunting rambut bukan sekadar luahan emosi biasa, sebaliknya menjadi simbol kekuatan dalam menghadapi ujian hidup paling getir.
Muhammad Haniif Shafiq Ahmad, 31, dari Taman Melur di sini, kini berjuang melawan barah otak tahap dua tanpa ibu dan bapa di sisi, selepas kedua-duanya meninggal dunia sebelum dia disahkan menghidap penyakit itu.
@ayiebouquetkl YA ALLAH,hanya kepadamu aku berserah diri dan kepada mu jugak aku memintak pertolongan Semoga segala proses besok diperudahkan olehmu,diberikan kesembuhan untuk ku kembali sihat dan berbakti kepada keluargaku yang masih memerlukan aku , #kanserotak #doaibuselamanya #kanserfighter ♬ Harum Setangkai Doa – Inteam
Kisahnya mula mendapat perhatian ramai selepas video dia gagal menahan sebak ketika memotong rambut dimuat naik di media sosial sehingga meraih lebih 1.9 juta tontonan. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet menitipkan doa dan kata-kata semangat buatnya.
Bercerita lanjut, Muhammad Haniif Shafiq berkata, video itu sebenarnya dimuat naik bagi melepaskan apa yang terpendam di hatinya selain berkongsi kisah perjuangan sebagai pesakit barah yang masih mengharapkan kesembuhan.
“Itu video lama sebenarnya. Seingat saya dirakam dua bulan lalu ketika ke kedai untuk potong rambut. Waktu itu, saya botakkan rambut kerana sudah mula gugur dan sebak juga. Sebab itu menangis waktu pegang mesin untuk potong rambut.
“Saja kongsi dengan harapan ada yang mendoakan saya dan tiada niat jadikan sakit saya sebagai ‘content’ atau nak minta simpati. Syukur kerana ramai bagi kata semangat dan itu yang buat saya kuat,” katanya.
Menurutnya, dia disahkan menghidap barah pada Ogos tahun lalu dan berita itu benar-benar menggoncang emosinya.
“Waktu mula dapat tahu memang ‘down’ (patah semangat) yang melampau dan perasaan itu susah nak diungkapkan kerana ujian datang ketika emak dengan ayah sudah meninggal dunia.
“Saya pula tinggal seorang diri di sini kerana adik-beradik yang lain sudah berkeluarga dan dua bulan juga bersedih mengenang nasib diri.
“Nak kerja pun tak boleh kerana dua bulan juga ‘down’ hingga terpaksa rujuk dengan doktor psikiatri yang mengesahkan saya ada ‘anxiety’ (gangguan kegelisahan dan kebimbangan) dan juga insombia. Sampai sekarang pun masih tak okay (emosi) tapi mahu atau tidak kena terus melangkah,” katanya.
Muhammad Haniif Shafiq yang bekerja sebagai pembantu kanan jualan selain menawarkan khidmat penghantaran berkata, sebelum disahkan menghidap barah, dia mengalami simptom seperti sakit kepala berpanjangan.
“Sakit sampai rasa macam nak ketuk kepala dekat dinding tapi tak tahu ia disebabkan barah sehingga pergi buat pemeriksaan lanjut di hospital.
“Barah itu memang beri kesan pada diri saya kerana sekarang tak boleh berdiri lama dan mudah berasa macam nak jatuh selain cepat pening.
“Perubahan lain yang ketara adalah jadi cepat lupa tapi buat masa sekarang, saya masih dapat bekerja macam biasa walaupun tak boleh beri tumpuan sepenuhnya,” katanya.
Mengenai rawatan, anak bongsu daripada 12 beradik itu berkata, dia diberikan pilihan untuk menjalani pembedahan, kemoterapi atau radioterapi.
“Sepatutnya saya kena buat pembedahan, tapi doktor beritahu ada risiko kerana kemungkinan selamat atau hilang memori juga angin ahmar.
“Kemoterapi pun ada kesannya jadi saya ambil keputusan buat radioterapi yang sudah bermula pada 3 Januari lalu. Untuk permulaan ada enam sesi yang berakhir Jumaat lalu.
“Saya tak tahu apa yang akan berlaku di hadapan nanti dan seperti pejuang barah lain, saya juga nak sembuh, sihat serta hidup normal macam dulu. Saya doakan juga rakan lain yang senasib terus kuat untuk hadapi ujian,” katanya yang menghargai semua termasuk individu terdekat yang memberi semangat untuknya bangkit daripada kesedihan.


