

‘Breezy Blue’: Gabungan Sempurna Pesona Retro Dan Sentuhan Moden Yang Penuh Keselesaan
TAITUNG, 12 September 2024 — Kereta api ‘Breezy Blue’ di Taiwan, salah satu kereta api persiaran retro yang paling ikonik, amat dirindui oleh peminat selepas persaraannya pada tahun 2020. Atas permintaan ramai, Pentadbiran Kereta Api Taiwan mengambil langkah pemulihan aktif untuk menghidupkan kembali kereta api ini.
Kini, ia kembali beroperasi dan berjaya menarik pelancong yang teruja untuk merasai keunikannya. Dengan reka bentuk nostalgik dan pemandangan semula jadi menakjubkan di sepanjang Laluan South-Link, ia menjanjikan perjalanan yang menyeronokkan dan menenangkan.
Untuk rakan Muslim Malaysia yang gemar perjalanan menaiki kereta api, ‘Breezy Blue’ menawarkan pengembaraan dengan pemandangan yang tidak dapat dilupakan, menjanjikan pengalaman percutian mengagumkan dengan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.
Sebagai satu-satunya kereta api retro di Taiwan tanpa penghawa dingin, ‘Breezy Blue’ yang berusia 50 tahun ini mengekalkan ciri klasiknya dengan kipas elektrik gantung tradisional. Penumpang boleh membuka tingkap untuk menikmati udara segar sambil menikmati keindahan alam semula jadi Taiwan.

Kereta api ini bergerak perlahan melintasi pantai selatan yang mempesona dan Kawasan gunung ganang, memberikan setiap penumpang pengalaman perjalanan kereta api yang tenang dan puitis.
Alami keunikan pesona perjalanan kereta api Taiwan
Perjalanan kereta api di Taiwan bukan sekadar satu kaedah pengangkutan, tetapi juga satu pengembaraan yang membawa penumpang menyelami keindahan alam semulajadi dan kekayaan budaya. Kereta api ‘Breezy Blue’ meluncur di sepanjang Laluan South-Link, melalui 17 stesen, merentasi pelbagai jambatan dan terowong, menawarkan pemandangan menakjubkan di mana laut bertemu dengan langit. Selain menonjolkan landskap semulajadi Taiwan yang memukau, ia turut memaparkan warisan sejarah dan budaya yang kaya.

Dalam perjalanan kereta api ini, pengembara akan melalui beberapa stesen ikonik, termasuk Stesen Duoliang yang terkenal sebagai stesen paling indah di Taiwan dan Stesen Fangshan yang terletak paling selatan. Stesen-stesen ini bukan sahaja menonjol dengan lokasi geografi yang unik, tetapi juga menjadi saksi penting kepada warisan budaya dan sejarah tempatan.
Abe Chou, Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, berkata: “Kami teruja untuk menjemput rakan-rakan Muslim Malaysia untuk membawa keluarga dan sahabat mereka ke Taiwan untuk merasai pesona unik pelancongan kereta api di sini.
Kereta api ‘Breezy Blue’ menawarkan gabungan sempurna antara pengalaman retro dan moden, membolehkan anda menikmati keindahan landskap selatan Taiwan sambil mendalami budaya dan sejarah tempatan. Kami juga telah menyediakan kemudahan mesra Muslim, termasuk ruang solat dan pilihan makanan yang halal, untuk memastikan perjalanan anda lebih selesa dan tanpa was-was.
Taiwan komited untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik dan prihatin. Kami amat berharap anda dapat meneroka keunikan pelancongan kereta api Taiwan dan menikmati pengalaman yang tidak akan dilupakan!”
Menyelami Budaya Orang Asli Taiwan
Kereta api ‘Breezy Blue’ membawa penumpang menyusuri pemandangan menakjubkan Taiwan sambil memberi peluang untuk meneroka budaya orang asli di sepanjang perjalanan. Kereta api ini berhenti di lokasi utama seperti Zhihben, Taimali, dan Jinlun, yang merupakan pusat penting bagi komuniti orang asli Taiwan.
Di sini, pengembara berpeluang menyertai aktiviti kebudayaan, merasai sendiri gaya hidup dan kraftangan orang asli, serta mendalami sejarah dan budaya mereka. Pengalaman ini menambah dimensi yang kaya dan bermakna, menjadikan perjalanan lebih daripada sekadar menikmati pemandangan.

Rancang Pengembaraan ‘Breezy Blue’ Anda
Pengembaraan kereta api ‘Breezy Blue’ kini dikendalikan secara eksklusif oleh Lion Travel, dengan pilihan pakej setengah hari, sehari penuh, atau berbilang hari. Setiap pakej termasuk tiket kereta api ‘Breezy Blue’, fon kepala dengan panduan audio, teh khas ‘Breezy Blue’, kotak bekalan makanan istimewa, dan tiket peringatan.
Pengaturan yang teliti ini memastikan pengembara menikmati pengalaman yang selesa dan unik, tidak kira pilihan jadual perjalanan mereka.
Pentadbiran Pelancongan Taiwan komited dalam mempromosikan persekitaran perjalanan yang mesra Muslim, dan pengembaraan kereta api “Breezy Blue” mengukuhkan lagi usaha ini. Ia memastikan semua pengembara Muslim dapat menikmati perjalanan dengan tenang, sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan, menjadikannya pengalaman yang santai dan bebas kebimbangan.
Penyanyi tempatan, Syameer Azmi, turut berkongsi pandangannya: “Kereta api ‘Breezy Blue’ adalah pengembaraan kereta api terbaik yang pernah saya alami. Pemandangannya sangat indah, dan ia sangat sesuai untuk rakan-rakan Muslim Malaysia merakam gambar yang cantik dan menikmati pengalaman ini.”
Sama ada anda ingin menikmati pesona pelancongan kereta api Taiwan atau menerokai budaya orang asli tempatan, kereta api ‘Breezy Blue’ menawarkan pengembara pengalaman visual yang menakjubkan dan peluang untuk mendalami warisan budaya Taiwan yang kaya.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur di +603-20706789 atau e-mel tourism@taiwan.net.my.
The post ‘Breezy Blue’: Gabungan Sempurna Pesona Retro Dan Sentuhan Moden Yang Penuh Keselesaan appeared first on Siakap Keli.

