Bridge Data Centres kembangkan pusat data di Taman MRANTI percepat transformasi digital Malaysia dan Asia Pasifik

Business & Finance
23 Jun 2023 • 3:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bridge Data Centres kembangkan pusat data di Taman MRANTI percepat transformasi digital Malaysia dan Asia Pasifik

diyana

23/06/2023 - 15:34

KUALA LUMPUR 22 Jun - Bridge Data Centres (BDC), penyedia rumusan pusat data di Asia Pasifik akan mengembangkan kampus pusat data hiperskala dinamakan MY03 di Taman MRANTI, Kuala Lumpur.

Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, ia berkata pengembangan tersebut menambah kuasa teknologi maklumat (IT) sebanyak 48 MW (megawatt) kepada penyedia perkhidmatan awan besar (hyperscaler) dan perusahaan di Malaysia dan Asia Pasifik.

BDC telah menandatangani perjanjian dengan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) untuk membina tiga bangunan dan pencawang 132kV di Taman MRANTI, di mana MY03 akan menawarkan jumlah kapasiti kuasa IT sebanyak 64 MW.

Presiden BDC, Dz Shing Lim berkata pengembangannya di Kuala Lumpur mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai peneraju rumusan pusat data Asia Pasifik.

“Pelaburan strategik ini membolehkan kami memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dengan rumusan pusat data terbaik dan menyumbang kepada perjalanan transformasi digital Malaysia,” ujar beliau.

Naib Presiden Reka Bentuk BDC Tho Lye Yit menambah, "Kemudahan canggih itu akan menampilkan ciri mampan, kuasa cekap tenaga dan teknologi penyejukan serta ketersambungan berbilang rangkaian bagi memastikan operasi lancar dan prestasi optimum."

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata pelan induk mengubah Taman MRANTI menjadi hab 4IR terkemuka negara bertujuan untuk mencapai nilai pembangunan kasar RM20 bilion, pajakan tanah bernilai RM2.8 bilion dan mewujudkan 8,000 pekerjaan menjelang 2027.

“Kami telah melancarkan tapak ujian negara untuk 5G melalui Pusat Pengalaman 5G MRANTI yang diterajui kerajaan baru-baru ini bagi menjejaki inovasi baharu dalam masa depan yang lebih memperkaya dipacu data. Hari ini, kami teruja untuk mengumumkan pengembangan BDC, sejajar dengan strategi pengembangan Taman MRANTI,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz menambah bahawa peluasan Bridge Data Centres di Malaysia bukan sahaja menangani permintaan yang meningkat untuk transformasi digital tetapi juga menekankan komitmen MDEC untuk memajukan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

“Dengan memangkin pertumbuhan dalam ekonomi digital melalui inisiatif strategik nasional Malaysia Digital dan program PEMANGKIN, kami memupuk ekosistem yang memacu negara tampil sebagai pelaburan bernilai tinggi.

“Bersama-sama dengan BDC, kami bersedia memenuhi keperluan infrastruktur digital yang berkembang dan menempa laluan ke arah masa depan ditentukan oleh inovasi dan kejayaan,” ujar beliau. - DagangNews.com