BRN jamin tiada diskriminasi tadbir Selatan Thai

WorldPolitics
21 Sep 2026 • 7:11 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BRN jamin tiada diskriminasi tadbir Selatan Thai

NARATHIWAT (THAILAND): Ma­syarakat bukan Melayu dan bukan Islam dijamin tidak akan didiskriminasi sekiranya Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) mendapat kuasa autonomi penuh di Selatan Thailand.

Jurucakap Pasukan Perun­ding BRN, Dr. Nikmatullah Seri berkata, pergerakan pembebasan itu mempunyai visi politik yang jelas untuk tidak mendiskriminasi mana-mana pihak ber­dasarkan jantina, bangsa, bu­daya atau agama di Narathiwat, Pattani dan Yala.

Katanya, oleh itu kebimbangan sesetengah pihak bahawa masyarakat bukan berketurunan Melayu serta penganut agama selain Islam akan didiskriminasi adalah tidak berasas.

“Jangan panggil kami Taliban. Kami, BRN menggunakan prinsip wasatiyah, iaitu jalan tengah. BRN adalah neutral, bukan kumpulan ekstrimis sayap kanan atau kiri.

“BRN mempunyai visi politik yang jelas bahawa tidak akan ada diskriminasi. Saudara dan saudari Buddha kami adalah warga Patani Darussalam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Akhbar ini pada 2 September lalu melaporkan BRN yang merupakan kumpulan pemisah terbesar di Selatan Thailand mahu peme­rintahan sendiri secara menyeluruh di tiga wilayah bergolak.

Bagaimanapun, BRN tidak me­nuntut kuasa mutlak atau kemerdekaan, sebaliknya mahu pemerintahan berasaskan per­kongsian kuasa bagi mentadbir Narathiwat, Pattani dan Yala menjadi satu wilayah.

Mengulas mengenai syarat untuk diiktiraf sebagai warga Patani, Dr. Nikmatullah memberitahu, perkara itu boleh di­bincangkan dan BRN bersikap fleksibel dalam menentukan tempoh berkenaan.

Katanya, mereka yang nenek moyangnya tinggal di Patani sebelum 1909, iaitu tahun Perjanjian Anglo-Siam 1909 ditandatangani, boleh dianggap sebagai warga Patani.

“Atau, jika mereka tidak bersetuju, kita boleh menggunakan jangka masa yang lebih dekat dengan masa kini. Kita boleh bersikap fleksibel dalam isu ini.

“Justeru, sesiapa yang lahir dan telah tinggal di Patani dari generasi ke generasi adalah sebahagian daripada masyarakat Pattani dan warganegara Pattani.

“Mereka berhak mendapat manfaat daripada sumber asli Pattani dan hak untuk menjalani kehidupan masing-masing mengikut tradisi dan identiti mereka.

“Mereka juga berhak mengamalkan agama mengikut ajaran kepercayaan masing-masing. Ini adalah hak peribadi,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, BRN menolak kehadiran pen­datang baharu dan kapitalis, terutama Israel.

“Mereka yang perlu dihalau dari kawasan ini adalah mereka yang baharu tiba, terutamanya kapitalis, atau kini, Israel.

“Kita mesti menghalau mereka dari tanah Pattani yang telah kita warisi,” katanya.- UTUSAN

The post BRN jamin tiada diskriminasi tadbir Selatan Thai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved