
TERLALU kejam! Lapan tahun berlalu, kes tular berlaku di Sungai Burung, Balik Pulau, Pulau ini pernah menggemparkan Malaysia.
Tiada siapa menyangka kehilangan seorang ibu warga emas akhirnya terbongkar dengan penemuan yang mengejutkan apabila jasadnya ditemukan di dalam tangki septik dalam keadaan berulat angkara anak kandungnya sendiri.
Masakan tidak, jenayah tidak berperikemanusian oleh pelaku, Mohammad Firdaus Ismail ketika berusia 29 tahun disifatkan tidak berperikemanusiaan kerana membunuh ibu sendiri.
Allahyarham Faridah Mat Hashim yang berusia 63 tahun ketika itu dibunuh Mohammad Firdaus Ismail, 37, yang dikenali sebagai Bro Chik gara-gara pertengkaran.
Malah lebih menyayat hati, mayat Faridah tergamak dibiarkan di dalam lubang kumbahan dan hanya dijumpai selepas hilang selama enam hari dalam keadaan berulat!
Jika diimbas kembali, peristiwa berdarah itu terlalu menyayat hati. Berikut adalah fakta kes dan kronologi pembunuhan pada 19 September 2018:
1-Ibu berkenaan tinggal bersama pelaku dan seorang anak perempuannya. Menurut anak perempuan mangsa, ketika dia keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi, ibunya sedang menunaikan solat manakala adik lelakinya sedang tidur dalam bilik.

2-Anak perempuan mangsa itu balik kerja kira-kira pukul 8 malam dan mendapati ibu dan adik lelakinya itu tiada di rumah. Dia cuba menghubungi telefon bimbit mereka tetapi tidak dijawab.
3-Kehilangan Faridah sejak 19 September 2018 dilaporkan kepada polis pada oleh ahli keluarganya pada 21 September.
4-Jasad Faridah ditemukan menantu lelakinya pada pukul 2.30 petang 24 September semasa operasi mencari di sekeliling kawasan rumah.
5-Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya ketika itu, difahamkan, wanita itu terdahulu dibunuh dan mayatnya ditemui dalam lubang kumbahan najis yang bertutup sedalam 1.5 meter!
6- Dengan bantuan pihak bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengeluarkan mayat wanita itu yang sudah berulat dan hasil pemeriksaan awal pasukan forensik menemui kesan kelar di bahagian depan lehernya.
7-Difahamkan, pelaku positif ketagihan petrol yang menyebabkan dia berkhayal dan berhalusinasi.
Artikel berkaitan:

8-Bekas pemetik buah di Australia itu menusuk pisau pemotong sayur pada bahagian leher dan mengelar leher ibunya selepas kedua-dua mereka bertengkar.
9-Dia kemudian bertindak membuka simen penutup lubang kumbahan dan meletakkan mayat Faridah di dalam tangki najis sebelum menghilangkan diri.
10-Dia terdahulu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori.
11-Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadapnya. Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak rayuan tersebut bagi mengetepikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos 2024.
12-Hakim Wan Ahmad Farid, dalam keputusan sebulat suara berkata kesalahan dilakukan perayu adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana membunuh ibu yang melahirkannya. "Perbuatan itu adalah keji dan cela serta cara kesalahan dilakukannya kejam dengan pelupusan mayat si mati telah menambahkan lagi keseriusan kes. Oleh itu, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan."

13-Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 September 2018 dengan 12 sebatan rotan.
14-Terdahulu, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan perayu telah insaf.
15-Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim berkata hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak berlebihan dan mahkamah ini perlu memberikan pemberatan, lebih kepada kepentingan awam.
16-"Tidak dinafikan adik beradik perayu telah memaafkan tetapi mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan masyarakat di luar sana perlu mendapat satu mesej yang keras dan jelas atas perbuatan dilakukan perayu. Perayu bukan hanya membunuh ibu kandungnya sendiri tetapi meletakkannya ke dalam tangki septik sehingga tujuh hari dan ditemukan dalam keadaan berulat" - Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim
17-Beliau berkata, terdapat dua serangan di bahagian leher dan ia dilakukan oleh perayu sendiri selaku anak. Si ibu turut cedera akibat luka hirisan dan tikaman pada bahagian badan, kepala, muka dan anggota yang lain.
18-Jasad yang telah reput kerana ditinggalkan agak lama di dalam tangki septik sehingga enam ke tujuh hari. Justeru, Mohd Zain berkata adalah tidak wajar untuk meringankan lagi hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.
Sumber: Bernama, Awani, Berita Harian, Harian Metro, Sinar Harian
