
LONDON: Bruno Fernandes telah dilantik sebagai kapten baharu Manchester United menggantikan Harry Maguire, umum kelab itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pertahanan England, Maguire pada Ahad mendedahkan pengurus Erik ten Hag telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak akan lagi memakai lilitan kapten.
Fernandes kerap mengetuai pasukan semasa kempen musim lalu, menyaksikan Manchester United menduduki tempat ketiga untuk kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2021.
Pemain berusia 28 tahun itu telah bermain 185 kali sejak menandatangani kontrak untuk kelab dari Sporting Lisbon pada 2020.
Sementara itu, Raphael Varane dinamakan kapten untuk perlawanan persahabatan pra-musim pertama United menentang Lyon di Murrayfield pada Rabu, dengan Fernandes tidak turut serta berikutan komitmen antarabangsa pada Jun.
Skuad itu tiba di Amerika Syarikat pada Khamis untuk siri jelajah 12 hari, ketika Ten Hag akan kehilangan pemain tengah Fred yang kekal di England atas sebab peribadi. -Bernama
