BSN salur lebih RM31,000 bagi perkasa kehadiran murid peribumi ke sekolah

16 Oct 2023 • 6:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi jenama tanggungjawab sosial korporatnya, BSN Care menghulurkan bantuan lebih RM31,000 sempena ‘Program Memperkasakan Kehadiran Murid Peribumi - Mojing Kenin Anak-Anak Penan’.

BSN dalam kenyataan memaklumkan program yang berlangsung pada 20 hingga 23 Sept lepas adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan tumpuan bagi meningkatkan pendidikan Orang Asli dan peribumi.

Ia dianjurkan Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan beberapa agensi lain bertempat di Daerah Baram, Miri bertujuan mengelak berlakunya keciciran dalam kalangan murid berkenaan dan seterusnya percapaian komuniti ini setara purata kebangsaan.

Menurut kenyataan itu, BSN mengambil langkah proaktif menyokong program berkenaan melalui sumbangan yang disampaikan seperti pembukaan dan pengkreditan wang tunai ke lebih 1,000 akaun BSN murid-murid dari tujuh buah sekolah.

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Banga, SK Long Lamei, SK Pa’ Dallih, SK Bario, SK St. Pius Long San dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Datuk Lawai Jau, Long San.

Selain itu, BSN turut menghulurkan sumbangan kepada Persatuan Guru Besar Malaysia Cawangan Negeri Sarawak.

Menurut kenyataan itu, selain memperkasakan kehadiran anak-anak komuniti Peribumi/Penan ke sekolah, program itu juga bertujuan meningkatkan motivasi pentadbir sekolah dan guru-guru di sekolah peribumi, meningkatkan taraf hidup dari segi kemahiran, reka cipta dan keusahawanan serta memberi kesedaran mengenai celik kewangan.

Turut diadakan dalam program tersebut adalah aktiviti bersama anak-anak komuniti Peribumi/Penan seperti pertandingan mewarna bertemakan Hari Malaysia dan pertandingan mencipta replika tabung.

Pengarah Pendidikan Sarawak Dr Azhar Ahmad dalam kenyataan sama berkata Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha menyediakan peluang yang sama untuk setiap murid mendapatkan pendidikan sewajarnya dan ia penting dalam mengubah taraf kehidupan sesebuah masyarakat, tidak terkecuali komuniti Orang Asli dan peribumi Sarawak.-Bernama