BSN Takaful Legasi perlindungan kewangan sepanjang hayat

Business & Finance
17 Aug 2026 • 2:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BSN Takaful Legasi perlindungan kewangan sepanjang hayat

PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) bersama Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melancarkan BSN Takaful Legasi, penyelesaian takaful keluarga baharu yang direka bagi membantu rakyat Malaysia membina jaminan kewangan mengikut perubahan keperluan pada setiap peringkat kehidupan.

Kerjasama berkenaan kini menyediakan perlindungan kewangan kepada lebih 600,000 pelanggan di seluruh negara dengan jumlah perlindungan asas melebihi RM47.9 bilion.

Pelancaran BSN Takaful Legasi turut memperkukuh kerjasama jangka panjang antara BSN dan PruBSN dalam memperluas akses kepada perlindungan takaful keluarga yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keperluan kewangan pelanggan.

Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd. Rashid berkata, perancangan kewangan yang baik bukan sahaja penting untuk membina masa depan yang lebih terjamin, malah perlu merangkumi perlindungan terhadap perkara yang penting dalam kehidupan.

“Melalui kerjasama kami bersama PruBSN selama dua dekad, kami kekal komited untuk menyediakan penyelesaian perlindungan yang berkualiti, mudah diakses dan relevan kepada rakyat Malaysia pada setiap peringkat kehidupan.

“BSN Takaful Legasi merupakan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan komitmen bersama ini,” katanya dalam kenyataan.

Antara ciri utama BSN Takaful Legasi ialah Protection Enhancer, yang secara automatik meningkatkan manfaat Kematian dan Hilang Upaya Menyeluruh dan Kekal (HUMK) setiap lima tahun ulang tahun sijil.

Ciri tersebut membolehkan tahap perlindungan berkembang seiring peningkatan komitmen kewangan pelanggan seperti membina keluarga, memiliki rumah, mengembangkan perniagaan atau membuat persiapan persaraan.

Pelanggan yang mengekalkan sijil untuk tempoh panjang turut berpeluang menerima Legacy Bonus, manakala peristiwa penting dalam kehidupan seperti perkahwinan, kelahiran anak, pembelian rumah serta ibadah Haji atau Umrah diraikan menerusi Life Celebration Benefit.

Pelan itu juga menyediakan pilihan pembayaran sumbangan yang fleksibel, tempoh perlindungan yang pelbagai serta rider tambahan bagi membolehkan pelanggan menyesuaikan perlindungan mengikut matlamat kewangan dan keperluan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Shahrul Azlan Shahriman berkata, keperluan perlindungan kewangan perlu berkembang selaras dengan peningkatan tanggungjawab seseorang sepanjang perjalanan hidup.

“Setiap peringkat kehidupan hadir dengan keutamaan dan tanggungjawab baharu. Apabila tanggungjawab semakin bertambah, perlindungan kewangan juga perlu berkembang seiring dengannya.

“BSN Takaful Legasi dibangunkan berasaskan keperluan ini, dengan menawarkan perlindungan yang meningkat dari semasa ke semasa sambil menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang,” katanya.

Selain itu, BSN Takaful Legasi turut menawarkan perlindungan tambahan bagi kematian akibat kemalangan ketika musim perayaan serta semasa menunaikan ibadah Haji atau Umrah, tertakluk kepada terma dan syarat sijil.

Pelanggan yang layak juga berpeluang mendapatkan perlindungan tanpa pemeriksaan perubatan, tertakluk kepada keperluan pengunderaitan.

BSN Takaful Legasi kini boleh didapati di semua cawangan BSN di seluruh negara serta melalui Perancang Kewangan BSN.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut di cawangan BSN berhampiran atau melalui BSN Wealth Planner. – UTUSAN

The post BSN Takaful Legasi perlindungan kewangan sepanjang hayat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved