BSN, Visa jalin kerjasama strategik pacu pertumbuhan e-dagang PMKS
zulfadli
04/08/2023 - 10:46
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Bank Simpanan Nasional (BSN) menjalin kerjasama strategik dengan Visa bagi memacu pertumbuhan e-dagang dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menerusi kerjasama ini, BSN dan Visa komited untuk memupuk pembangunan PMKS melalui penganjuran program latihan perdagangan digital ‘Accelerate My Business (AMB)'.
Latihan ini bertujuan untuk memacu penggunaan pembiayaan digital yang akan meningkatkan ilmu kewangan PMKS bagi membolehkan mereka mempertimbangkan lebih banyak pilihan pembiayaan demi memajukan perniagaan masing-masing.
Seramai 750 PMKS BSN terpilih akan mengikuti 27 sesi latihan komprehensif yang dibahagikan kepada dua bengkel modul bagi mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi di 13 lokasi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, berpegang teguh kepada visi kami ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan’, pihaknya sentiasa prihatin terhadap keperluan masyarakat dengan mempelbagaikan produk dan perkhidmatan kami bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen.
"Kami turut menyepadukan sumber dan program pendidikan kewangan dalam perkhidmatan kami bagi memastikan pelanggan mempunyai akses kepada literasi kewangan dan nasihat praktikal.
"Kerjasama strategik dengan Visa ini adalah bertepatan dengan misi kami untuk memacu transformasi digital mikro-PKS bagi mempertingkatkan tahap operasi dan daya saing mereka dalam landskap perniagaan yang dinamik masa kini," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, pihaknya menganggap perniagaan mikro dan kecil sebagai tunggak ekonomi Malaysia.
"Kami berbesar hati untuk berganding bahu dengan BSN dalam usaha memperkasakan para usahawan melalui sumber dan alatan bagi memajukan perniagaan dan meningkatkan punca pendapatan mereka, lantas mewujudkan kesan sampingan positif seluruh masyarakat.
"Dengan terus membina asas yang kukuh berbekalkan ilmu kewangan dan perniagaan, kami boleh membantu mereka mencari cara baharu untuk menjana pertumbuhan dan berkembang maju," katanya.
Sepanjang latihan dijalankan, para peserta akan dilengkapi dengan kemahiran keusahawanan yang penting, meliputi pelbagai bidang seperti pengurusan perniagaan, celik kewangan, kecekapan operasi dan strategi pendigitalan.
Untuk memenuhi keperluan dan cabaran peserta yang pelbagai, program ini akan dikategorikan berdasarkan kepakaran keusahawanan mereka - peringkat mula dan berpengalaman.
Selain itu, platform pembelajaran AMB akan memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai sumber bimbingan praktikal kepada para peserta.
Ini termasuklah aktiviti interaktif, lembaran kerja, alat penilaian kendiri, glosari dan bahan tambahan untuk menyokong perjalanan keusahawanan mereka.
Latihan AMB akan bermula pada Ogos 2023 hingga Mac 2024. - DagangNews.com


