BTM Resources dapat lanjutan masa Seda, siapkan loji kuasa biojisim di Terengganu
syaza
13/08/2024 - 18:05
KUALA LUMPUR 13 Ogos - Anak syarikat milik penuh BTM Resources Bhd iaitu BTM Biomass Products Sdn Bhd menerima lanjutan masa daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) bagi menyiapkan loji janakuasa biojisim 10MW di Chukai, Terengganu.
Dalam maklumannya di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, ia telah menerima lanjutan ketiga daripada Seda untuk memulakan operasi loji janakuasa tenaga pada 23 Dis 2025.
Pada mulanya, permulaan operasi projek itu dijadualkan pada 23 Januari 2022, tetapi syarikat itu menerima lanjutan pertamanya daripada Seda menjelang 23 Jun 2023.
Selain itu, Seda telah memberikan lanjutan kedua kepada BTM untuk menyiapkan projek itu pada 23 Jun 2024.
Lanjutan terkini menunjukkan BTM Biomass deiberikan tempoh masa sehingga 23 Dis 2025 untuk memulakan operasi kilang biojism itu dan 23 Jan 2026 untuk memulakan Tarif Suapan (FiT).
BTM, bagaimanapun, tidak melaporkan sebab tertentu bagi pelanjutan itu.
BTM mendapat kelulusan daripada Seda pada Julai 2020 untuk membina dan mengendalikan loji janakuasa 10MW serta membekalkan tenaga elektrik kepada Tenaga Nasional Bhd dalam tempoh 21 tahun, dengan tarikh permulaan ditetapkan selewat-lewatnya pada 23 Jan 2023.
Sejak dua bulan lalu, BTM telah menyaksikan perubahan dalam pengurusan dan lembaga pengarahnya.
Ini bermula pada Jun 2024 apabila Pengerusi BTM, Loo Eng Hua dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Leou, Thiam Lai meletak jawatan, diikuti dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Kewangan, Ooi Gin Hui sebulan kemudian.
Loo dan Leou berkata, mereka meletak jawatan kerana urus niaga penting tertentu tidak ditangani secukupnya oleh Pengarah Eksekutif Syarikat Induk dan Anak syarikat, ini boleh memberikan kesan material ke atas kedudukan kewangan kumpulan.
Memandangkan keadaan itu, mereka berkata bahawa mereka tidak dapat memenuhi tugas dan tanggungjawab fidusiari mereka.
Sementara itu, Ooi berkata, ketidaktentuan hala tuju perniagaan dan orientasi syarikat yang merugikan itu merupakan antara faktor beliau meletak jawatan.- DagangNews.com

