
GURUN – Seramai 14 lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang remaja minggu lalu.
Mereka ialah Muhammad Asyraaf Muhammad Zaidi, 20, Muhammad Azrul Rahimi Muhamad Yusri, 18, Ahmad Izzul Irfan Ridduan, 21, Muhammad Rhahimy Abdul Rashid, 19, Yusman Hakimi Yusmezal, 24, dan Muhammad Zulfaqar Zulkarnain Khairol Fais, 21.
Turut didakwa ialah Muhammad Aiman Riduwan Abdullah, 21, Ahmad Aiman Danial Ahmad Wizam, 21, Muhammad Adam Haris Rosdan, 21, Muhammad Muqkriz Azizan, 21, Muhammad Adam Iqbal Mohd Wazi, 19, dan Syafiq Afif Syarafuddin Abd, Ghapar, 23.
Dua lagi tertuduh merupakan pesalah bawah umur masing-masing berusia 16 dan 17 tahun.
Kesemua mereka hanya mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 19, di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sungai Petani, di sini antara pukul 9 malam, 5 Oktober dan 7.30 pagi, 8 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala Muhammad Azrul Rahimi, Ahmad Izzul Irfan dan Muhammad Zulfaqar diwakili peguam Mohamad Ashraf Ahmad Sohaimi. Baki tertuduh lain tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 23 Disember ini untuk sebutan semula kes termasuk mendapatkan laporan bedah siasat serta laporan kimia.
Sementara itu, pekarangan mahkamah dipenuhi ahli keluarga tertuduh sejak pukul 8 pagi dengan ada antara mereka yang menangis dan memanggil nama ketika kesemua tertuduh tiba dan dibawa keluar dari mahkamah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki melalui azab pedih apabila dikurung dan diseksa selama dua hari sebelum mayatnya dibuang di tepi semak berhampiran Jalan Harvard Golf Club pada 8 Oktober lalu.
Mangsa yang berusia 19 tahun dipercayai dilarikan sekumpulan suspek pada 5 Oktober sebelum dikurung dan dipukul di sebuah rumah di Gurun.
Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek selepas menerima aduan penduduk yang mendakwa mangsa mencuri motosikal. – KOSMO! ONLINE
The post Buang mayat tepi semak: 14 lelaki termasuk dua beradik dituduh membunuh appeared first on Kosmo Online.

