
JOHOR BAHRU – Perbuatan membuang puntung rokok di tempat awam yang dianggap remeh membawa padah apabila 26 individu diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) dengan membersihkan kawasan awam di seluruh negeri.
Kesemua mereka terlibat dalam pelaksanaan PKM Siri Ke-50 yang dijalankan serentak di lima lokasi, termasuk 13 pesalah yang menjalani hukuman di De Stulang, di sini, hari ini.
Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, 12 merupakan warga tempatan manakala 14 lagi terdiri daripada tujuh warga Bangladesh, tiga Nepal, tiga Indonesia dan seorang Pakistan.
Menurut beliau, kesemua kesalahan membabitkan pembuangan sisa kecil di tempat awam dengan 25 kes melibatkan puntung rokok manakala satu lagi membabitkan tin minuman.
“Pelaksanaan PKM ini bukan sekadar hukuman, sebaliknya pendekatan pendidikan sivik kepada pesalah supaya mereka memahami kesan tindakan membuang sisa kecil secara tidak bertanggungjawab,” katanya ketika mengetuai pelaksanaan PKM di De Stulang, di sini.
Katanya, sebanyak 3,095 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) berkaitan kesalahan Pembuangan Sisa Kecil (PSK) dikeluarkan hasil operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.
“Sejak 1 Ogos lalu, sebanyak 789 kertas siasatan telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor untuk semakan dan tindakan lanjut.
“Setakat ini, 107 kes di bawah Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) selesai melalui prosiding mahkamah, membabitkan 59 warganegara Malaysia dan 48 warga asing,” ujarnya.
Kes berkenaan merekodkan jumlah denda keseluruhan RM71,550, selain pesalah turut dikenakan PKM antara dua hingga 10 jam berdasarkan perintah mahkamah.
Dalam perkembangan sama, seorang lelaki warga asing dikenakan hukuman penjara sebulan selepas gagal membayar denda RM1,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana membuang puntung rokok di jalan awam. – KOSMO! ONLINE
The post Buang puntung rokok, 26 pesalah kena kutip sampah appeared first on Kosmo Online.



