Buat Aksi Superman & Zig-Zag Semasa Konvoi, 9 Remaja Merempit Ditahan

25 Jul 2022 • 12:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available
9 Remaja buat aksi zig-zag dan superman ditahan


Padah melakukan aksi berbahaya seperti zig-zag dan ‘superman’ semasa menunggang motosikal ketika berkonvoi ke Pantai Sura, Dungun, Terengganu, sembilan remaja ditahan pada 22 Julai.

Sekumpulan remaja tersebut telah diekori oleh sepasukan polis sejauh lebih kurang 29 kilometer dari Kampung Jambu Bangkok, Marang sebelum mereka di tahan di Jalan Pantai Sura, Dungun.

Dikesan semasa pasukan polis sedang jalankan Op. Samseng Jalanan

Menerusi laporan Kosmo, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris memaklumkan, aksi berbahaya sembilan remaja lelaki yang berkonvoi itu telah dikesan oleh sepasukan polis yang pada waktu itu sedang menjalankan Op. Samseng Jalanan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Marang.

“Mereka didapati bersaing semasa sendiri sambil melakukan aksi zig zag dan ‘superman’ dengan motosikal masing-masing,” jelasnya.

kesembilan remaja diekori, sebelum ditahan

Menurut beliau, selepas diekori, kumpulan remaja tersebut kemudiannya ditahan ketika mereka sedang berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Pantai Sura.

Jelasnya lagi, kumpulan remaja itu bersama dengan motosikal masing-masing telah dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 dan RM15,000 dan penjara maksimum lima tahun serta lesen memandu digantung bagi tempoh sama jika sabit kesalahan,” kata Mohd. Zain.