‘Buat apa MIC pilih PN, baik pilih PH’: Puad Zarkashi

LocalPolitics
18 Nov 2025 • 1:31 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – MIC dijangka meraih lebih banyak manfaat dengan menyertai Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN), kata seorang pemimpin Umno hari ini.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, hal ini kerana menyertai Pakatan Harapan (PH) akan memberi ruang kepada MIC untuk berunding mengenai jawatan.

“Lagi pun (Presiden MIC) Tan Sri SA Vigneswaran kata, kalau keluar BN, MIC tetap akan menyokong PMX.

“Bukankah itu “hint” cukup jelas hala tuju MIC? Terutamanya apabila para perwakilan MIC serah kepada CWC untuk buat keputusan. Lagi mudah untuk Vicky buat U-turn dari PN ke PH,” kongsi Puad di Facebook miliknya pagi ini.

Kelmarin, Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada untuk kekal dalam Barisan Nasional (BN) kepada presiden parti, Vigneswaran, dan jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Tiada undian dibuat untuk memutuskan tiga usul yang dibawa oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, termasuk cadangan untuk keluar daripada BN dan membuat permohonan rasmi menyertai gabungan pembangkang PN.

Spekulasi mengenai masa depan MIC telah berlarutan selama beberapa bulan, didorong oleh rasa tidak puas hati parti terhadap apa yang dilihat sebagai pengabaian oleh parti utama BN, iaitu Umno.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan tersebut, Vigneswaran berkata parti bersedia bekerjasama dengan mana-mana blok yang menghormati prinsip dan ideologi mereka, termasuk PH.

“Sejujurnya, kami belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai PN atau PH. Kami bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka menerima prinsip dan ideologi kami,” katanya dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Puad menyatakan keyakinan bahawa Anwar pasti akan menerima MIC ke dalam PH, sebagaimana beliau menerima Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ke dalam PKR.

"Sudah pasti PMX akan terima MIC, sebagaimana Tengku Zafrul diterima masuk PKR. Apa apa boleh bulldoze. Sebelum ini desas desus kata, Ruji Ubi akan bertanding atas tiket BN. Akhirnya bertanding atas tiket PKR," katanya sinis.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut mengulas isu tersebut dengan memberi komen pada status Facebook Puad.

Beliau mempersoalkan sama ada komponen PH iaitu PKR atau DAP sanggup melepaskan kerusi Parlimen yang kini disandang oleh Ahli Parlimen India daripada parti-parti tersebut kepada MIC sekiranya parti itu memutuskan untuk menyertai gabungan berkenaan.

“Satu perkara yang pasti ialah jika MIC keluar daripada BN, satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenangi MIC atas tiket BN (Tapah) akan diambil semula oleh Umno, seperti yang telah dipersetujui dengan PH sebelum ini,” katanya. – 18 November, 2025

The post ‘Buat apa MIC pilih PN, baik pilih PH’: Puad Zarkashi appeared first on Scoop.