Buat duit senyap-senyap di KLCC, 14 jurugambar haram kantoi kena kompaun DBKL

LocalBusiness & Finance
5 Feb 2026 • 1:27 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Jurugambar yang menjalankan aktiviti mengambil upah tanpa permit di sekitar kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menerima padah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan khas penguatkuasaan, semalam.

Operasi yang dijalankan di sekitar Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee pada 4 Februari itu menyasarkan individu yang menjalankan aktiviti fotografi secara komersial tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 14 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap jurugambar yang didapati melanggar Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2026.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan turut mendapati terdapat jurugambar bukan warganegara yang menjalankan aktiviti berkenaan tanpa permit sah.

“Sebanyak enam tindakan sitaan telah dilaksanakan ke atas peralatan fotografi yang digunakan oleh jurugambar bukan warganegara terbabit,” katanya.

DBKL menegaskan bahawa sebarang aktiviti perniagaan di kawasan awam, termasuk perkhidmatan fotografi, perlu mematuhi peraturan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum beroperasi.

Tambahnya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan ketenteraman warga kota sentiasa terpelihara.