Buat Loan RM262,000 & Bank Silap ‘Transfer’ RM26 Juta, Kisah Benar Kekasih ‘Sakau’ Duit Bank Yang Berakhir Di Penjara

26 Sep 2022 • 2:21 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kes kesilapan transaksi wang oleh pihak bank ke akaun individu secara tidak sengaja bukanlah perkara baharu dalam isu-isu kewangan, malah ia pernah menjadi satu episod jenayah global yang panjang beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, pernah berlaku beberapa kes pihak bank tersilap melakukan transaksi ke dalam akaun individu hingga membuatkan si penerima itu terkedu sebentar kerana menjadi jutawan sekelip mata.

Demikianlah seperti yang terjadi ke atas seorang lelaki di Amerika Syarikat (US) yang terkedu apabila mendapati dirinya tidak semena-mena menjadi orang ke-25 terkaya di dunia baru-baru ini.

Imbas sedikit latar belakang kesnya, lelaki tersebut, Darren James berasa bertuah menjadi jutawan sekelip mata apabila RM225 bilion ‘termasuk’ ke dalam akaun bank miliknya bagaikan durian runtuh.

image is not available
Keratan laporan terdahulu

Pasangan ‘jutawan celup’, buat loan & bawa lari duit bank RM26 juta

Berbalik kepada konteks, kesilapan transaksi oleh pihak bank adakalanya boleh menjadi kes jenayah berat. Demikianlah seperti yang terjadi ke atas sepasang pasangan kekasih dari New Zealand sekitar 2009 dahulu.

Perjalanan panjang sepasang kekasih dari New Zealand yang pernah melarikan ke diri ke Hong Kong selepas puluhan juta ‘termasuk’ ke akaun bank mereka pada 2009 lalu akhirnya berakhir di penjara.

Imbas kembali laporan BBC, segalanya bermula semasa tertuduh lelaki membuat permohonan pinjaman sebanyak RM262,960 kepada bank tempatan Australia, Westpack Bank secara overdraft pada 2009 lalu.

Bagaimanapun, bank tersebut melakukan kesilapan transaksi dengan memindahkan sejumlah RM26 juta ke dalam akaun tertuduh secara tidak sengaja sebelum disedari pihak mereka beberapa hari kemudian.

Walau bagaimanapun menurut siasatan polis, pasangan itu telah memindahkan lebih daripada separuh wang tersebut ke dalam akaun-akaun lain sebelum berpakat melarikan diri ke Hong Kong.

Difahamkan, mereka berdua didakwa berjoli sakan dengan berjudi dipercayai menggunakan duit tersebut semasa berada di Macau dan selatan China pada 2010 berikutnya.

Menurut fakta kes, selepas kedua-duanya ditahan, mereka diikat jamin di alamat yang berbeza sebelum sesi pembicaraan bermula.

Anak lelaki mereka dipercayai berada bersama sebuah keluarga di China, manakala bekas teman wanita tertuduh pula didakwa mempunyai seorang anak perempuan daripada hubungan dengan lelaki lain.

Ditahan & dibicarakan

image is not available
Kredit: BBC

Menurut laporan, tertuduh lelaki, 31, didapati bersalah atas tujuh pertuduhan kes kecurian wang bernilai RM16.7 juta pada Jun sebelum ditahan dan diekstradisi dari Hong Kong pada Disember.

Bagaimanapun laporan media New Zealand memaklumkan, tertuduh berkata di dalam mahkamah bahawa dia tidak mampu untuk membayar semula duit yang telah digunakan tersebut.

Manakala bekas teman wanitanya pula didapati bersalah atas kesalahan cuci duit (money laundering), cubaan menipu dan kecurian pada Mei.

Wanita tersebut ditahan selepas kepulangannya ke New Zealand pada Februari 2011 dan disabitkan kesalahan di Mahkhamah Rotorua selepas empat hari kes dibicarakan.

Walau bagaimanapun, wanita tersebut mengaku tidak bersalah dengan mendakwa bekas teman lelakinya yang memberitahu bahawa dirinya telah memenangi loteri.

Sehubungan itu, wanita tersebut diarahkan untuk membayar pampasan kira-kira sebanyak RM31,000 terhadap pihak bank berkenaan.

Tertuduh lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun tujuh bulan, manakala bekas teman wanitanya diperintahkan hukuman tahanan rumah selama enam bulan.

Sementara itu Westpac tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap sebutan kes.

Terdapat laporan yang menyatakan bahawa pihak bank tersebut berjaya memperoleh semula RM7.63 juta tetapi masih kekurangan kira-kira RM8.97 juta.

Kisah pasangan kekasih yang menjadi ‘jutawan celup’ itu pernah menggemparkan dunia jenayah kewangan hingga meraih perhatian global.

Untuk pengetahuan, kisah mereka telah diadaptasi menjadi sebuah filem iaitu Runaway Millionaires (2019) yang diarahkan oleh pengarah Danny Mulherron, dibintangi oleh Jess Sayer dan George Zhao.

image is not available
Gambar via Rotten Tomato

Sumber: BBC