
KUALA LUMPUR – Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mencuri tumpuan ramai apabila berkongsi hantaran penuh bermakna di Instagram.
Memuat naik video ringkas untuk suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hantaran berkenaan mengandungi ucapan Dr Wan Azizah sempena ulang tahun Perdana Menteri yang ke-76 hari ini.
“Setahun meningkatnya umur. Semoga Allah izinkan dipenuhi mawaddah rahmah sakinah dalam iman dan taqwa,” katanya.
Menerusi video berkenaan, Perdana Menteri dilihat ‘terkejut’ disambut isterinya sambil diperhatikan beberapa pegawai, sebelum beliau tersenyum dan memeluk mesra Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.
Turut menarik perhatian ramai ialah sedutan lagu ‘Happy Birthday’ yang dinyanyikan cucu-cucu pasangan dua sejoli itu.
Hantaran terbabit pantas menerima respon netizen, dengan majoriti meluahkan rasa terharu atas keikhlasan kasih sayang yang dipamerkan.
Pemilik akaun @noranuar_sajari misalnya, memuji peribadi Dr Wan Azizah yang disifatkan tidak pernah mahu mencuri tumpuan, walau dalam apa jua keadaan.
“What a genuine love indeed. She never, ever took the limelight from DSAI no matter in what circumstances they are in and not even when she was holding the DPM office.
“Her perseverance and loyalty towards DSAI while being a dutiful wife and a mother is second to none despite all the hardships that she has to endure for the past 20 over years,” katanya.
(Sebuah cinta yang amat luhur. Beliau tidak pernah cuba mencuri perhatian yang diberikan kepada DSAI walau dalam apa jua keadaan, walaupun ketika berada di pejabat Timbalan Perdana Menteri. Kesetiaannya terhadap DSAI sebagai isteri dan ibu tiada tandingan meskipun menembuh pelbagai rintangan sejak 20 tahun lalu).
Pendapat senada diluahkan @noorhayati_ibunoor yang mengagumi kehebatan pasangan berkenaan.
“Dedua insan hebat. Terharunya tengok perjuangan DSAI dan keluarga. Moga Allah merahmatimu. Amiin. Happy Besday (Birthday) PMX,” katanya.
Sehingga berita ini ditulis, video berdurasi 31 saat itu sudah menerima lebih 16,000 tontonan dan 540 komen. - Getaran, 10 Ogos 2023



